Sekilas
- Maryam berkongsi perkembangan terkini anak keduanya, Rian, selepas jatuh dari katil dan menjalani pemantauan ketat selama 48 jam seperti nasihat doktor.
- Rian kini dilaporkan semakin pulih, sudah boleh makan, bermain, dan berkelakuan seperti biasa selepas tempoh pemantauan tamat.
- Maryam mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberi sokongan sepanjang tempoh mencemaskan tersebut.
Personaliti media sosial, Maryam berkongsi keadaan terkini anak keduanya, Rian selepas insiden jatuh katil, baru-baru ini.
Menurut Maryam, doktor menasihatinya untuk membuat pemantaun ketat terhadap anaknya dalam masa 48 jam bagi melihat perkembangan kesihatan.
"Selepas kejadian tersebut, kami membawa Rian ke hospital dengan kadar segera.
"Doktor nasihatkan kami untuk buat pemantauan terdekat dalam anggaran 48 jam sebagai langkah berjaga-jaga,"tulisnya.
Bagaimanapun, Maryam berkata tempoh pemantauan tersebut telah berakhir dan kini anaknya sudah semakin sihat dan pulih seperti biasa.
"Alhamdulillah, pemantauan tersebut telah selesai dan Rian kini sudah semakin pulih. Dia sudah boleh makan, melihat, bermain, senyum dan berkelakuan seperti biasa," ujarnya.
Dalam masa sama, Maryam turut merakamkan penghargaan buat mereka yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan dan kesejahteraan anak kesayangannya itu.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan dan mengambil berat tentang Rian.
"Segala sokongan telah memberi ketenangan pada kami sekeluarga ketika detik tertekan itu. Jangan risau. Rian dah sihat dan gembira," katanya lagi.
Terdahulu, suaminya, Ryzal Ibrahim berkongsi detik cemas apabila Rian tidak sedarkan diri selepas terjatuh dari katil.
Ryzal mengakui dia berasa hiba melihat isterinya berulang kali memanggil nama anak mereka yang ketika itu tidak menunjukkan sebarang tindak balas.