Sekilas
- Pelakon Hisyam Hamid menafikan dakwaan bahawa dia pernah mengunjungi rumah Erysha Emyra yang tular di media sosial.
- Hisyam menganggap gosip itu tidak normal dan mungkin timbul kerana mereka kini bergandingan dalam drama ‘Ikatan Terlarang’.
- Hisyam menjelaskan hubungan mereka hanya sebagai rakan dan teman sekerja, dan gosip tersebut tidak memberi kesan besar kepada dirinya walaupun Erysha sedikit terkesan.
Pelakon Hisyam Hamid menafikan dakwaan yang mengatakan dia pernah mengunjungi rumah aktres, Erysha Emyra, seperti yang tular di media sosial.
Menganggap gosip tersebut sesuatu tidak normal, Hisyam bagaimanapun berkata namanya terpalit sekali kemungkinan disebabkan mereka kini bergandingan dalam drama ‘Ikatan Terlarang’.
Menurut Hisyam, dia menganggap gosip tersebut sebagai sesuatu yang luar biasa kerana tidak pernah terpalit dengan kontroversi sedemikian sebelum ini.
“Bagi saya, ia (gosip) tidak normal untuk saya sebab saya tak pernah lagi dapat gosip sebegitu. Tapi mungkin sebab dia (Erysha) datang dari satu generasi yang berbeza, yang lebih kepada media sosial.
“Mungkin sebab kami tengah bekerjasama, jadi saya pun terjebak sekali. Tapi ia bukan sesuatu yang membuatkan saya rasa bimbang. Saya menafikan dakwaan tersebut,” ujarnya kepada Gempak.
Hisyam ditemui ketika sesi temu bual bersama media untuk drama Ikatan Terlarang di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam masa sama, pelakon berusia 40 tahun ini mengakui berasa kecewa dan marah dengan dakwaan yang dilemparkan, namun memilih untuk tidak terlalu memikirkannya.
“Sudah tentu saya rasa kecewa, marah dan saya tak tahu apa tujuan individu tersebut untuk menjatuhkan dia atau saya.
“Saya tak jangka akan terlibat dalam kontroversi tapi macam saya cakap ia bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan. Just move foward dan akaun tersebut pun dah tak ada,” katanya lagi.
Mengulas mengenai kesan kontroversi itu, Hisyam berkata Erysha paling terkesan memandangkan ketika isu itu timbul, dia sedang berdepan situasi sukar apabila arwah bapanya berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Sudah tentu perkara itu memberi kesan kepada Erysha sebab masa benda itu jadi, saya dekat Singapura dan ayah dia pula dekat ICU. Jadi sudah tentu ia memberi kesan.
“Banyak perkara yang dia sedang lalui. Jadi, bagi saya biarkan saja gosip itu sebab lama kelamaan ia akan hilang sendiri,” ujarnya.
Sementara itu, Hisyam turut menjelaskan hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar rakan dan teman sekerja walaupun mereka berkawan di dalam mahupun di luar set penggambaran.
“Kami berkawan on set dan luar set juga. Mungkin orang nampak macam saya seorang saja yang pergi kenduri tahlil arwah bapanya tapi sebenarnya ramai saja yang datang.
“Perbezaanya kami sekarang tengah bekerjsama dekat set yang sama, jadi mungkin ia menjadi lebih menarik perhatian. Tapi tiada cinta-cinta la. Cinta sayang sebagai kawan dan teman sekerja,” katanya lagi.