Pengurus peribadi Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Rozi Abdul Razak berkongsi disebalik persediaan penyanyi itu untuk konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Instagram, Rozi atau lebih mesra disapa sebagai Kak Z mendedahkan pelantun lagu Destinasi Cinta itu sendiri menyuarakan hasrat untuk tampil dalam segmen tradisional menggunakan teknologi ‘toaster’.
“Di ruang yang besar, elemen spektakular membantu mengarahkan pandangan puluhan ribu penonton kepada satu titik fokus utama. Dua bulan lalu, itulah permintaan Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk muncul dalam segmen tradisional diawali dengan menggunakan teknologi 'toaster'.
“Namun, di sebalik kemegahan teknologi itu, ada sebuah keberanian yang jarang kita bicarakan. Bukan sekadar berani berdiri di atas platform yang meluncur tinggi tetapi berani untuk terus mencabar limitasi diri demi peminat-peminat beliau,” tulisnya.
Tambah Rozi, selepas lebih tiga dekad mengukir nama dalam industri seni tanah air, Siti tidak pernah memilih jalan mudah.
Sebaliknya, beliau terus belajar, berinovasi dan berani keluar daripada zon selesa demi memastikan setiap persembahan kekal bermakna dan relevan.
“Setelah 30 tahun, beliau tidak memilih jalan mudah. Beliau memilih untuk terus belajar, terus berinovasi dan terus 'melompat' keluar dari zon selesa. Elemen spektakular ini adalah bukti cintanya bahawa tradisi tidak semestinya kaku dan legasi harus sentiasa dijulang dengan penuh keberanian.
“Kecemerlangan ini bukan sekadar tentang gimik tetapi tentang jiwa yang tidak pernah berhenti mahu memberi yang terbaik. Keberanian tidak hanya bersifat pejuang, muncul garang dan membentak, melengking riuh menyebar dalam hentak, ada keberanian yang unggul dengan cara diam tanpa bergerak, tunduk tanpa lagak dan melangkah dalam kebaikan yang tidak nampak,” tambahnya.
Sekadar info, konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil menarik kira-kira 72,000 peminat dengan penampilan mengagumkan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin pada usia 46 tahun.
Suasana konsert semakin meriah dengan aksi unik Siti mempersembahkan lagu 'Purnama Merindu' dari atas sebuah kren serta mengajak peminat berjoget lambak.
Konsert itu turut diserikan dengan penampilan beberapa artis tempatan lain seperti Hafiz Suip dan Noh Salleh selain penyanyi dari Indonesia, Cakra Khan.
Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza antara lain merupakan sebuah simbol perjalanan, pengorbanan dan kejayaan seni Siti sepanjang 30 tahun dalam dunia seni.