Skip to main content

Viral

Saman Aliff Syukri: Abdul Kadir Dakwa Digambarkan Samseng, ‘Kaki Botol’, 'Kaki Perempuan' - "Saya Tidak Berhutang RM30 Juta..."

kadir_aliff

Sekilas

  • Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai dakwaan fitnah oleh Datuk Seri Aliff Syukri yang menggambarkan beliau dengan imej negatif seperti samseng Hollywood dan kaki botol.
  • Abdul Kadir menafikan dakwaan hutang RM30 juta dan menjelaskan ia adalah pelaburan untuk projek mega, bukan pinjaman, serta menegaskan beliau tidak terlibat dalam perjanjian usaha sama yang disebut defendan.
  • Beliau juga menyatakan bahawa dakwaan tersebut memberi kesan buruk kepada reputasinya sebagai bekas veteran UMNO dan ahli politik selama 30 tahun, sambil mengakui kejayaan Aliff Syukri dalam perniagaan walaupun tanpa pendidikan tinggi.

Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa bahawa, dakwaan fitnah dibuat ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman menggambarkannya sebagai samseng Hollywood, ‘kaki botol’ dan ‘kaki perempuan’.

Abdul Kadir, 86, selaku saksi plaintif pertama berkata demikian ketika memberi keterangan dalam kes samannya terhadap Aliff Syukri, 39, di hadapan Hakim, Roslan Mat Nor.

Bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu berkata, hantaran yang dibuat penyanyi lagu raya kontroversi terbabit turut memberi impak negatif terhadap dirinya selaku seorang bekas veteran UMNO yang berkecimpung dalam arena politik selama 30 tahun.

Bekas Menteri Penerangan dari tahun 2004 hingga 2006 berkata, Aliff Syukri selaku defendan didakwa menyunting gambarnya, duduk di sebelah seorang penyanyi terkenal malah memaparkan segelas arak, dalam Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia yang dihadiri pada 23 Julai 2023.

“Saya tidak berhutang RM30 juta dengan defendan tapi dia mendasarkan tuntutan pada perjanjian usaha sama, satu perjanjian yang saya bukan pihaknya.

“Saya juga tidak pinjam wang itu sebaliknya menganggap ia sebagai pelaburan untuk projek mega,” katanya.

Sepanjang 30 tahun berkhidmat sebagai ahli Parlimen, beliau tidak pernah terhegeh-hegeh untuk meminjam wang sebaliknya telah melahirkan ahli perniagaan sehingga bergelar jutawan.

Beliau berkata, dakwaan fitnah itu mengambarkannya sebagai seorang orang tua yang menjijikkan.

Sedangkan katanya, beliau tidak lebih kepada orang lama yang mahu membantu ahli perniagaan baharu.

“Defendan tidak ada pengalaman untuk membangunkan projek mega meskipun beliau menguruskan pelbagai perniagaan.

“Bagaimanapun, saya bangga menyaksikan kejayaannya meskipun pempengaruh itu tidak berpendidikan tinggi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan peguam, Ravichandaran Selliah.

Dalam prosiding ini, Aliff Syukri tidak hadir ke mahkamah dan diwakili peguamnya, Zulfahmi Abu Bakar, Mohd Tajudin Abd Razak dan Shah Nurul Afzan Abdullah.

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement