Sekilas
- Irfan Zaini berkongsi pengalaman pertama berlakon dengan pelakon popular Selatan India, Vijay, ketika berusia 12 tahun dan menerima kata-kata motivasi daripadanya untuk tidak berputus asa dalam lakonan.
- Selepas bermula sebagai pelakon tambahan di Astro dan industri Melayu, Irfan cuba nasib di India walaupun pernah ditipu, akhirnya berjaya mendapat watak penting dalam filem Jana Nayagan.
- Filem Jana Nayagan, karya terakhir Vijay sebelum beliau beralih ke bidang politik, akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 9 Januari depan.
Pelakon Irfan Zaini mengimbau kembali pengalaman pertama dapat berlakon dengan pelakon popular Selatan Indian iaitu Vijay ketika usianya 12 tahun.
Menurut Irfan, dia masih ingat lagi pesanan Vijay kepadanya yang memintanya untuk tidak berputus asa dalam dunia lakonan.
“Satu perjalanan yang panjang. Masa saya umur 12 tahun, saya mula berlakon dan filem pertama saya dengan Vijay… 18 tahun lalu.
“Masa saya berlakon dengan Vijay, dia beritahu saya yang saya ada potensi dan kalau betul-betul minat pastikan jangan putus asa. Mungkin ketika itu dia lihat saya budak kecil lagi.
“Dan dia mahu memberi kata-kata motivasi kepada saya tapi saya ambil perkara itu secara serius. Saya memang nak berlakon tapi kena habiskan pelajaran dulu,” katanya kepada Gempak.
Pernah ditipu ketika mencuba nasib di India, Irfan bagaimanapun akhirnya berjaya menempa nama di negara itu apabila dia kini muncul dalam filem Jana Nayagan
“Saya mulakan kerjaya lakonan selepas habis SPM. Bermula dengan Astro, saya jadi pelakon tambahan, pelakon pembantu, jadi pengacara.
“Dari situ, saya masuk industri Melayu. Saya mula dengan Polis Evo, Expect dan Sheriff. Alhamdulillah, rezeki saya juga dengan filem Blood Brother.
“Dalam masa sama, saya cuba nasib di India. Saya pernah ke India tapi pernah kena tipu. Tapi akhirnya rezeki saya, Allah tengok saya susah payah cari peluang. Akhirnya saya dapat berlakon dalam filem Goat.
“Dari situ juga membuka peluang untuk saya berlakon dalam filem Jana Nayagan. Akhirnya saya dapat watak bukan pelakon tambahan, dia adalah satu karakter dan saya dapat gaji juga,” katanya.
Filem Jana Nayagan akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 9 Januari depan.
Untuk info, filem terbabit merupakan karya terakhir Vijay selepas membuat keputusan untuk meninggalkan dunia seni bagi menceburi bidang politik.