Sekilas
- Penyanyi Pija Yasin sudah berhijab sejak empat bulan lalu selepas mengalami pengalaman mistik yang memberi kesan besar dalam hidupnya.
- Dia mengalami gangguan aneh seperti tidak dapat makan, tidur, dan mimpi buruk selama beberapa hari sebelum mendapatkan rawatan dan bantuan keluarga.
- Pija berkongsi pengalaman itu sebagai pengajaran penting tentang menjaga diri dengan amalan kerohanian dan sentiasa berdoa.
Penyanyi Pija Yasin mendedahkan sudah berhijab sejak empat bulan lalu selepas melalui pengalaman mistik yang memberi kesan besar dalam hidupnya.
Menurut Pija, keputusan itu hadir lebih awal daripada perancangan asal apabila dia sebelum ini berniat untuk berhijab sebelum usia 40 tahun.
“Alhamdulillah saya dah bertudung sejak empat bulan lalu. Memang dari muda lagi saya berniat untuk berhijab sebelum umur 40 tahun, tapi Allah kirimkan hidayah lebih awal,” katanya.
Pija berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Suria Records yang berlangsung di Rumah Abang Jamil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengimbas detik tersebut, Pija yang juga pernah menjuarai rancangan realiti Mentor itu berkata dia mengalami gangguan aneh selama beberapa hari termasuk tidak dapat makan, tidur dan berdepan mimpi buruk.
“Saya tak pernah alami anxiety atau kemurungan sebelum ini. Tapi tiga malam berturut-turut saya tak boleh makan, tak boleh tidur dan alami mimpi buruk.
“Saya juga sesak nafas, jadi saya hanya mampu minta pertolongan daripada Allah. Saya lawan dengan solat tahajud dan doa,” ujarnya.
Tambahnya, dia turut berusaha merawat diri sendiri berdasarkan ilmu yang pernah dipelajari daripada arwah bapanya sebelum mendapatkan bantuan ahli keluarga.
“Saya cuba berubat sendiri sebab pernah belajar dengan arwah ayah. Tapi bila tak tahan, saya hubungi abang ipar untuk bantu,” katanya.
Menurut Pija, pengalaman tersebut cukup menakutkan apabila dia melihat perubahan pada dirinya sendiri.
“Ketika itu saya tengok muka saya dalam cermin macam nenek kebayan. Selepas dirawat, badan saya terus rasa ringan dan saya menangis,” kongsinya.
Ujarnya lagi, kejadian tersebut memberi pengajaran besar dalam hidupnya selain menyedarkan tentang kepentingan menjaga diri dengan amalan kerohanian.
“Saya mimpi ada jin muncul dan arwah mak serta ayah beritahu saya memang ‘dibuat’. Mungkin disebabkan penyakit ain atau perkara lain.
“Saya tahu mungkin ada yang tak percaya, tapi saya yang alami sendiri. Ini jadi pengajaran supaya kita sentiasa ada pendinding diri dan berdoa,” jelasnya.