Sekilas
- Fadhlan Hazim berkongsi pengalaman kurang menyenangkan apabila ada individu dalam dunia seni bela diri cuba menunjukkan demo tanpa hormat.
- Fadhlan menegaskan pentingnya memperkenalkan diri dahulu sebelum menunjukkan kemahiran supaya tidak dianggap biadab.
- Perkongsian ini dibuat susulan luahan seorang individu yang merasakan sikap angkuh dan kurang semangat kesukanan dalam kalangan pengamal seni silat.
Pelakon, Fadhlan Hazim berkongsi pengalaman kurang menyenangkan yang pernah dilaluinya ketika berbual dengan individu dalam dunia seni bela diri.
Menurut Fadhlan, individu tersebut secara tiba-tiba cuba menunjukkan demo namun tidak sesuai dengan cara.
“Ada juga saya jumpa, bukan setakat sembang, sampai kaki dia tiba-tiba naik lalu depan muka saya sebab nak ‘demo’ kaki dia laju," tulisnya.
Tambah Fadhlan, dia tidak kisah sekiranya seseorang individu itu mahu menunjukkan kemahiran mereka namun perlu ada rasa hormat terhadap orang lain.
“Nak demo boleh, tapi kena intro dulu. Kurangkan sikit biadab tu,” tambahnya. 
Fadhlan berkongsi perkara tersebut selepas seorang individu meluahkan pandangan di media sosial mengenai pengalamannya dalam dunia seni bela diri, khususnya berkaitan sikap segelintir pengamal seni silat.
Individu berkenaan mendakwa sepanjang penglibatannya dalam bidang itu, terdapat segelintir yang disifatkan bersikap angkuh, gemar berdebat untuk menang serta kurang menunjukkan semangat kesukanan.
Malah, pengalaman tersebut membuatkan individu itu berasa ragu-ragu untuk mendalami seni silat walaupun mempunyai minat terhadapnya.