Sekilas
- Adam Corrie berkongsi pengalaman awalnya memeluk Islam pada 2008 dan menghadapi tekanan serta kritikan daripada sesetengah pihak.
- Beliau menegaskan bahawa saudara baru memerlukan masa, ruang, dan bimbingan yang lembut untuk memudahkan proses mereka.
- Adam menyeru agar orang sekeliling memberi contoh baik dan tidak menakutkan, kerana hidayah adalah milik Allah, bukan manusia.
Pelakon, Adam Corrie tampil berkongsi pengalaman awalnya ketika memeluk Islam sekitar tahun 2008 yang lalu.
Menerusi ciapan di Threads, Adam atau nama sebenarnya Adam Corrie Lee Abdullah mengakui dia turut berdepan tekanan ketika fasa awal dirinya memeluk Islam.
Ujar pelakon filem KL Gangster itu, sesetengah pihak dilihat cenderung untuk mengkritik berbanding memberi bimbingan kepada saudara baru.
“Awal-awal saya masuk Islam dulu, beginilah tekanannya. Ramai lebih suka mengkritik dari membimbing.
“Padahal mualaf sedang bertatih, sedang mencari kekuatan,” kongsinya.
Di akhir perkongian, Adam menegaskan bahawa setiap saudara baharu itu memerlukan masa dan ruang.
Justeru, dia berharap orang sekeliling dapat membimbing dengan memberikan pendekatan yang lembut agar dapat memudahkan urusan saudara baharu.
“Kalau benar kita sayang agama, kita sepatutnya memudahkan bukan menakutkan.
“Beri ruang, beri masa, beri contoh yang baik. Hidayah itu milik Allah, bukan milik manusia yang menilai,” ujarnya.
Terdahulu, tular isu mengenai kekasih pelakon, Ben Amir iaitu Liana Alara yang menerima teguran daripada netizen mengenai cara berpakaiannya yang dikatakan tidak menepati jangkaan sesetengah pihak selepas seminggu memeluk Islam.
Sumber: Threads