Pelakon, Mimi Lana menyeru agar pihak berwajib mengambil tindakan tegas terhadap kes kes jenayah melibatkan rogol dan buli pelajar yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads, Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 30, menyuarakan kebimbangannya terhadap peningkatan kes jenayah bawah umur.
Advertisement
Malah kata Mimi, peningkatan itu dilihat sebagai satu krisis serius yang menuntut perhatian segera
“Rasanya kes jenayah bawah umur ni dah boleh bawa ke kes tali gantung. Diorang ni besar kepala. Sebab akta bawah umur ni selalu selamatkan diorang.
“Mak bapak pun ambik sambil lewa konon anak bawah umur tak berfikiran rasional lagi. Rogol anak orang,buli anak orang pandai pulak,” tegasnya.
Meskipun menyedari tulisannya itu berbaur emosi, namun Mimi menekankan bahawa jika undang-undang semasa menetapkan pelaku bawah umur masih mendapat perlindungan, masyarakat tetap berhak menuntut ketelusan dan keadilan terhadap mangsa.
“Mungkin saya menulis dengan emosi, Tapi sebenarnya saya cuma mengharapkan kata-kata yang lebih tegas dan berani daripada satu suara rasmi.
“Satu kenyataan yang jelas mengutuk perbuatan pelaku dan memberi mesej yang kuat supaya pelajar dan Ibu bapa lain mengambil iktibar dari kes yang berlaku sejak kebelakangan ni.
“Kalau itu memang prosedur undang-undang, tidak ada siapa pun yang akan dan boleh membantah. Kita cuma taknak tahu keistimewaan pelaku yang masih diberikan peluang selepas melakukan jenayah.
“Apa yang kita nak dengar ialah inisiatif dan tindakan tegas daripada pihak sepatutnya terhadap kes buli dan rogol yang semakin kerap berlaku,” tegasnya.

Terdahulu, media melaporkan empat pelajar tingkatan 5 disyaki terlibat atas tuduhan merogol bergilir-gilir terhadap seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 dalam kelas sebuah sekolah di Alor Gajah minggu lalu.
Kesemua suspek kini direman bermula semalam sehingga Khamis bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Difahamkan kesemua empat suspek lelaki itu ltelah dibuang sekolah dan perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad menerusi sidang akhbar khas pada Isnin.