Sekilas
- Filem seram Malam Terlarang mendominasi pencalonan Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur Edisi Ke-11 dengan lapan kategori termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.
- Filem ini bersaing dengan Mencari Ramlee, Macai, Badak dan Ninavau dalam kategori Filem Terbaik serta menerima pencalonan untuk pelbagai kategori lakonan dan teknikal.
- Majlis penyampaian anugerah akan diadakan pada 20 Jun 2026 di Shah Alam, bertujuan mengiktiraf mutu seni dan pencapaian sinematik filem tempatan.
Filem seram, Malam Terlarang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara karya tempatan paling mendapat perhatian apabila mendominasi senarai pencalonan Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur Edisi Ke-11 menerusi lapan kategori keseluruhan.
Filem yang dibintangi Zul Ariffin, Shasha Abedul dan Sofia Jane itu berjaya menembusi beberapa kategori utama termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.
Bagi kategori Filem Terbaik, Malam Terlarang bakal menerima saingan sengit daripada Mencari Ramlee, Macai, Badak dan Ninavau yang turut tersenarai sebagai calon.
Selain pencalonan Filem Terbaik, Malam Terlarang turut tercalon menerusi kategori:
- Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Sofia Jane
- Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Sabri Yunus
- Pengarah Terbaik – Nurhanisham Muhamad
- Pelakon Lelaki Terbaik – Zul Ariffin
- Pelakon Wanita Terbaik – Shasha Abedul
- Lakon Layar Terbaik
- Sinematografi Terbaik
Majlis penyampaian anugerah pula akan berlangsung pada 20 Jun 2026 di Kafe Tiga Belas, Shah Alam, dengan menghimpunkan pengkritik filem, penggiat industri serta pengkarya tempatan dalam meraikan karya-karya filem terbaik sepanjang tahun.
Penganjuran edisi ke-11 ini diteruskan sebagai usaha memperkukuhkan budaya apresiasi filem tempatan selain memberi pengiktirafan terhadap mutu seni, pencapaian teknikal dan kekuatan penceritaan dalam sinema Malaysia.
Mengenai MPFKL
Ditubuhkan pada November 2011, Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur merupakan sebuah kelompok pengkritik filem yang terdiri daripada editor, penulis, blogger serta pencipta kandungan yang aktif menulis dan membincangkan filem-filem tempatan dan antarabangsa.
Sejak diperkenalkan, Anugerah MPFKL menjadi antara platform penghargaan filem yang menilai karya dari sudut pandang pengkritik dan pemerhati seni, dengan penekanan terhadap nilai artistik serta mutu sinematik sesebuah karya.
Kerjasama bersama Sinema Raya bagi pengumuman senarai pendek tahun ini juga diharap dapat membuka ruang interaksi lebih luas antara komuniti filem, pengkritik, pengkarya dan penonton dalam memperkasakan ekosistem sinema tempatan.
Maklumat lanjut mengenai Anugerah MPFKL Edisi Ke-11 boleh diperoleh menerusi laman rasmi MPFKL di https://www.mpfkl.my/