Sekilas
- Lah Ahmad pernah cuba ajak bekas anggota VE kembali aktif bersama, tapi hormati keputusan mereka yang sudah ada haluan masing-masing.
- Usaha untuk hidupkan semula VE terhenti kerana kekangan komitmen dan minat yang berbeza antara anggota.
- Lah teruja untuk beraksi dalam konsert Soul City: An R&B Night bersama Innuendo, Ruffedge, The Fabulous Cats dan Datin Alyah pada 10 Julai di Unifi Arena.
Penyanyi Lah Ahmad mengakui pernah beberapa kali mengajak bekas anggota kumpulan VE untuk kembali aktif bersama, namun enggan memaksa kerana menghormati pilihan serta haluan hidup masing-masing.
Menurut Lah, dia kini memahami minat seseorang terhadap muzik tidak boleh dipaksa kerana ia akan jelas kelihatan sekiranya dilakukan tanpa kerelaan.
“Saya dah faham sekarang ini kita tak boleh paksa. Kalau mereka nak buat, mereka dah buat lama dah.
“Masing-masing sudah ada kerjaya dan minat sendiri. Ada yang dalam bidang perniagaan dan ada yang sudah memilih haluan berbeza,” katanya.
Lah berkata demikian ketika mengulas ketiadaan kumpulan vokal harmoni VE dalam barisan artis yang bakal menjayakan konsert Soul City: An R&B Night di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 10 Julai depan.
Tambah Lah, dia pernah menghubungi semula beberapa bekas anggota VE bagi menghidupkan semula kumpulan tersebut, malah mereka sempat mengadakan sesi latihan dan perbincangan.
Bagaimanapun, usaha itu tidak dapat diteruskan kerana kekangan komitmen serta kesesuaian setiap anggota.
“Kalau muzik ini kena paksa, orang boleh nampak. Orang boleh tahu seseorang itu sebenarnya tidak minat atau fikir perkara lain.
“Kita tak mahu mereka rasa kekok atau terpaksa. Yang penting kami masih berkawan dan saling menyokong dalam bidang masing-masing,” ujarnya.
Menurut penyanyi berusia 46 tahun itu, bergerak secara solo juga lebih mudah berbanding berkumpulan kerana tidak melibatkan komitmen ramai pihak.
“Kalau bergerak solo lebih mudah. Dengan penganjur pun senang. Kalau kumpulan, banyak kepala. Seorang boleh, seorang tak boleh. Nak dapatkan komitmen semua orang bukan mudah.
“Semua orang kena ada minat yang sama untuk buat benda itu,” katanya.
Dalam masa sama, Lah berkata dia masih berhubung dengan bekas anggota VE meskipun masing-masing kini sibuk dengan kehidupan sendiri.
“Ada yang saya jumpa di studio atau ketika persembahan, tetapi ada juga yang sudah lama tak berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri.
“Saya hormat keputusan mereka dan beri ruang kepada mereka untuk buat apa yang mereka minat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Lah teruja apabila bakal bergandingan dengan Innuendo, Ruffedge, The Fabulous Cats dan Datin Alyah menerusi konsert Soul City: An R&B Night yang akan berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 10 Julai depan.
Menurutnya, konsert berkenaan bukan sahaja mengimbau kegemilangan muzik R&B tempatan sekitar penghujung 1990-an dan awal 2000-an, malah menjadi platform memperkenalkan semula genre tersebut kepada generasi baharu.