Skip to main content

Hiburan

Konsert The Grand Slam Unplugged 2 Tonjol Kredibiliti 3 Dekad Slam

Astrogempak SLAM

Sekilas

  • Slam telah mengukir sejarah lebih 30 tahun sebagai kumpulan muzik yang berprestij dengan persembahan akustik bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan di Konsert The Grand Slam Unplugged 2.
  • Konsert tersebut menampilkan susunan muzik baharu yang segar dan vokal Zamani yang masih memukau peminat dengan lagu-lagu popular seperti Gerimis Mengundang dan Kembali Merindu.
  • Slam turut berkolaborasi dengan tiga pemain gitar terkenal tanah air dalam segmen khas yang menunjukkan semangat brotherhood dan kematangan seni mereka di atas pentas.

Untuk tempoh lebih 30 tahun mencetak jenama sebagai sebuah kumpulan Slam, mengadakan persembahan dalam skala besar atau kecil adalah ‘tugas hakiki’ mereka sebagai pemuzik.

Maka adalah bukan suatu hal yang luar biasa apabila Slam yang terdiri daripada Zamani, Shah, Man, Eddie dan Lili untuk berada di atas panggung lalu memainkan untaian tembang mereka yang cukup malar segar.

Namun pada malam Konsert The Grand Slam Unplugged 2 di Mega Star Arena yang berlangsung tanggal 20 Jun 2026, ada sesuatu yang sangat mengesankan telah ditinggalkan oleh kumpulan Slam.

Slam telah memahat bukti bahawa mereka adalah pemuzik yang mempunyai piawaian dan kredibiliti cukup besar dalam ranah muzik Malaysia. Slam bukan popular hanya kerana lagu-lagunya seperti Gerimis Mengundang, Kembali Terjalin, Rindiani, Kurnia atau Mentari Muncul Lagi sebaliknya kualiti yang dikutip sepanjang menjadi pemuzik telah meletakkan kumpulan tersebut pada aras tersendiri.

Jika boleh dikatakan, Konsert The Grand Slam Unplugged 2 sebenarnya berlangsung dengan sangat sederhana. Persembahan pentas dengan penampilan warna putih dan kelabu mereka sangat sederhana. Panggung juga tidak dihias berlebihan; disimbahi permainan cahaya dan latar LED dengan lirik lengkap untuk semua ke-16 lagu yang dibawa.

Namun sebalk Slam memainkan watak sebagai karyawan seni, saat itulah ‘roh’ sebenar Slam muncul. Dengan konsep unplugged atau akustik yang disifatkan mereka sebagai sudah tiba waktu dipersembahkan, kemudian dilengkapkan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) , konsert tersebut berlangsung dengan kemas dan indah.

Indah yang dimaksudkan di sini adalah bagaimana vokal Zamani masih lagi mendayu lalu memerangkap bukan sekali tetapi berkali-kali hati peminat terhadap tembang Slam. Dan paling menarik adalah Slam menyusun ulang semula lagu-lagu mereka dalam gubahan yang cukup enak malah mambuat ribuan peminat yang hadir leka mendengarkan alunan melodi segar yang dipersembahkan.

Lagu-lagu seperti Jika Kau Rasa Getarnya, Kembali Merindu, Tak Mungkin Berpaling dan Nur Kasih misalnya yang telah dihasilkan bertahun lama menjadi begitu indah dalam balutan susunan muzik baharu dan ‘mega’ dilengkapi bunyi-bunyian dari OSK.

Lebih bijaksana dan ‘seksi’, sekurangnya pada pendapat peribadi saya adalah bagaimana Slam tampil bersama tiga pemain gitar tersohor tanah air iaitu Kid, Jobranko dan Aznan Alias atau Nan yang memetik ‘senjata’ mereka dengan sangat asyik pada segmen khas. Gadisku (Search), Intan Ku Kesepian (Wings) dan Sentuhan Listrikmu (Datuk M Nasir) dimainkan begitu ‘kaya’ dengan suntikan vokal Zamani yang tidak perlu memberitahu peminat beliau sedang menjadi M. Nasir, Amy atau Awie. Zamani cukup menjasi Zamani ; vokalis yang cukup membumi tapi sentiasa berkualiti dan disayangi.

Segmen tersebut secara tidak langsung juga adalah usaha yang menunjukkan ‘brotherhood’ pemuzik. Ia juga adalah momen emas dan bonus besar buat peminat yang hadir pada malam Konsert The Grand Slam Unplugged 2 kerana menyaksikan secara langsung para legenda seni bermain di atas panggung tanpa ‘membunuh’ satu sama lain.

Slam bermain cara Slam yang matang dan tidak berlebihan sementara tiga pahlawan gitar Malaysia itu pula melunaskan kerja dengan kemas. Dan jika Konsert The Grand Slam Unplugged 2 disifatkan sebagai kesinambungan daripada konsert mereka yang mencatat sejarah berlangsung dalam suasana tanpa bekalan elektrik serta punya momen tersendiri, konsep itu tuntas dipersembahkan.

Dalam suasana sederhana, Slam menutup Konsert The Grand Slam Unplugged 2 dengan kenangan yang indah dan baik. Ia mengingatkan kita tanpa gimik merapu, tanpa sesuatu yang extravaganza dan tanpa terlalu mahukan pembuktian, sesebuah konsert boleh berlangsung cemerlang hanya berbekalkan kredibiliti. Itulah yang ditonjolkan Slam, sekumpulan seniman sejati.

Anda mungkin berminat dengan

Uniqlo AIRism Cotton Flare Dress | Long Sleeve

Uniqlo AIRism Cotton Flare Dress | Long Sleeve

KING Relaxed Football Jersey Unisex in Mountain Blue by PUMA

KING Relaxed Football Jersey Unisex in Mountain Blue by PUMA

Walking Balloon Animals/Standing Cartoon Toys with Wheels

Walking Balloon Animals/Standing Cartoon Toys with Wheels

The mini retro gramophone Bluetooth speaker is compact and delicate, making it the top choice for gifts to girls. 复古音响-048

The mini retro gramophone Bluetooth speaker is compact and delicate, making it the top choice for gifts to girls. 复古音响-048

Tudung Bawal Cotton Bidang 45 NEW COLOUR Bucu Tajam Square Hijab

Tudung Bawal Cotton Bidang 45 NEW COLOUR Bucu Tajam Square Hijab

Must Watch Video

Advertisement