Sekilas
- Kamal Adli menafikan dakwaan keganasan rumah tangga oleh isterinya, Uqasha Senrose, dengan mengatakan gambar kecederaan yang ditunjukkan adalah lama dan diulang semula.
- Kamal mencabar Uqasha untuk membawa bukti kecederaan tersebut ke unit forensik bagi mengesahkan dakwaannya.
- Kamal juga mendakwa dirinya mempunyai bukti kecederaan akibat keganasan dan tidak takut dengan laporan polis kerana menafikan pernah memukul Uqasha.
“Itu gambar dia tunjuk beberapa tahun lepas, ulang benda sama.”
Itu penjelasan pelakon, Kamal Adli sekali gus mengulas foto ditunjukkan isterinya, Uqasha Senrose yang mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang empat tahun perkahwinan mereka.
Kamal atau nama lengkapnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, berkata, gambar didakwa isterinya sebagai bukti kesan kecederaan akibat dikasari adalah gambar lama yang diulang semula.
“Itulah gambar dia tunjuk beberapa tahun lepas. Dia ulang benda sama. Foto itulah juga yang dia tunjuk kepada mak dan bapa saya,” katanya selepas prosiding perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Akui Kamal lagi, jika benar tuduhan tersebut, Uqasha sewajarnya memberikan gambar tersebut kepada unit forensik.
“Cuba pergi tunjuk dekat forensik, lebam itu sebab kena pukul ataupun lebam daripada orang yang tahan dipukul? Itu saya nak tahu,” ujarnya.
Pada masa sama, Kamal turut memberi bayangan dirinya melalui situasi kurang menyenangkan, malah menyimpan bukti.
“Saya pun ada gambar-gambar bukti (dikasari) semua itu. Ada kesan kekal (parut) di badan yang saya tak boleh buang.
“Saya juga tak takut dengan laporan polis sebab saya memang tidak pukul. Saya pun dah agak dah benda ini,” katanya.
Terdahulu, Uqasha mendedahkan dirinya didera dan berdepan keganasan rumah tangga dalam tempoh empat tahun bergelar isteri kepada aktor terbabit.
Dalam kenyataannya selepas prosiding Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Khamis, dia mendakwa dikasari termasuk ketika sarat hamil tujuh bulan.
Sumber: Kosmo Online