Penyanyi dan ahli akademik, Dr. Diddy Hirdy tampil menjelaskan salah faham yang sering berlaku dalam kalangan pengikutnya berhubung gelaran akademik yang dimiliki.
Menerusi satu hantaran di Threads, Dr. Diddy mendedahkan bahawa ramai pelajar PhD dari China yang berurusan dengannya sering memanggilnya sebagai 'Professor', namun beliau menjelaskan bahawa gelaran tersebut tidak tepat untuk dirinya ketika ini.
“Walaupun kebanyakan student PhD saya dari China panggil saya Professor, please jangan panggil saya Prof,” tulisnya.

Menurut Dr. Diddy, beliau merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada University of Liverpool, United Kingdom dalam bidang muzik, sekali gus melayakkannya menggunakan gelaran 'Dr.'.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa gelaran Profesor Madya dan Profesor merupakan lantikan akademik yang diberikan oleh universiti, bukannya gelaran yang diperoleh melalui pengajian PhD.
“Saya lulusan Doktor Falsafah (PhD) dari University of Liverpool (UK) dalam bidang muzik yang membawa gelaran ‘Dr’.
“Gelaran Prof Madya dan Prof adalah lantikan universiti dan saya belum lagi sampai lantikan itu. Maksudnya, kalau dah pencen, gelaran itu pun hilang dan yang tinggal hanya gelaran ‘Dr’ sahaja,” jelasnya.
Dalam hantaran sama, Dr. Diddy turut menjelaskan bahawa walaupun seseorang telah dilantik sebagai Profesor Madya, gelaran yang sesuai digunakan dalam bentuk salutation rasmi masih lagi 'Dr.'.

“Dan kalau saya dah dapat Prof Madya pun, tak perlu panggil Prof lagi. Prof Madya belum full professor dan salutation yang sesuai adalah ‘Dr’ sahaja.
“Kalau saya Professor, barulah boleh panggil Prof ya,” katanya lagi.