Sekilas
- Iman Troye berpendapat video detik cemas anak kedua Ryzal Ibrahim dirakam untuk rujukan doktor dan meningkatkan kesedaran ibu bapa.
- Iman menegaskan perkongsian itu penting supaya ibu bapa lain tahu cara bertindak dalam situasi kecemasan serupa.
- Video tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen, ada yang sokong atas faktor kesedaran, ada pula yang persoalkan tindakan merakam dan muat naik.
Penyanyi, Iman Troye berpendapat perkongsian video detik cemas melibatkan anak kedua pempengaruh media sosial, Ryzal Ibrahim seharusnya dilihat dari sudut yang lebih positif.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Iman berkata kemungkinan besar video tersebut dirakam bertujuan sebagai rujukan kepada doktor selain meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa mengenai situasi kecemasan seperti itu.
“Saya rasa abang Ryzal ni record untuk rujukan doctor. Mesti dia dan isteri trauma. Jadi dia spread awareness pada parents lain.
“Kita tak ada anak, kita tak tahu macam mana rasa bila tengok anak sakit, tak sedarkan diri,” kongsinya.
Iman berkata demikian sebagai menjawab dakwaan seorang individu yang mempersoalkan tindakan Ryzal merakamkan situasi anaknya yang tidak sedarkan diri selepas jatuh katil.

Dalam hantaran yang sama, Iman juga berpendapat
perkongsian seperti itu boleh memberi manfaat kepada ibu bapa lain yang mungkin berdepan situasi sama pada masa akan datang.
“Jadi benda ini penting untuk parents kat luar sana, macam mana nak bertindak.
“Kita nampak benda ni macam kecil, tapi mungkin membantu untuk parents di luar sana. kita cuba pandang yang positive ya,” tulisnya.
Terdahulu, Ryzal berkongsi video merakamkan detik cemas isterinya, Maryam sedang menjerit dan menepuk anak keduanya, Rian sebagai langkah untuk menyedarkan putera mereka.
Bagaimanapun, video itu mengundang pelbagai reaksi netizen.
Ada yang menyokong perkongsian tersebut atas faktor kesedaran, namun tidak kurang juga yang mempertikaikan tindakan merakam dan memuat naik situasi itu ke media sosial.