Pelakon Fedi Nuril mendedahkan dia membawa pulang lori yang digunakan untuk penggambaran filem ‘Pangku’ bagi memudahkannya untuk berlatih memandu.
Menurut Fedi yang memegang watak sebagai Hadi, selama tiga hari dia berlatih untuk memandu lori tersebut.
“Saya harus belajar memandu lori. Malah, lori yang digunakan untuk penggambaran, saya bawa balik rumah selama tiga hari.
“Setiap hari saya buat latihan memandu lori itu. Sebab saya tak biasa bawa lori dan itulah salah satu cabaran saya untuk filem ini,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Fedi mengakui kejujuran yang diletakkan Reza dalam filem arahan pertamanya itu membuatkan karya tersebut sangat istimewa.
“Kejujuran Reza dalam menceritakannya, dia tidak takut atau malu untuk membuka kerapuhannya dan menunjukkan kepada penonton.
“Di mana itu membuktikan ketika kita berkarya dengan jujur, orang akan tersentuh. Jujur itu satu hal yang susah untuk dilakukan,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai cabaran bekerja di bawah arahan rakan sendiri, Fedi bagaimanapun berkata dia sangat senang dapat bekerjasama dengan Reza dalam filem ‘Pangku’.
“Saya tak rasa ada cabaran bekerja di bawah arahan Reza sebab dia sangat profesional, seorang yang sangat teliti dalam merancang dan tersusun.
“Sebab itu saya jadi percaya dengan arahan dia. Secara peribadi, pengalaman bekerja dengan Reza sangat mudah,” katanya.
Untuk info, filem Pangku bakal ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia bermula 11 Disember ini.