Sekilas
- Seorang individu yang dipercayai pernah berkhidmat di Aviation Security & Safety AirAsia mendakwa menyaksikan detik akhir hayat Allahyarham Hani Mohsin dan berkongsi cerita tersebut kepada mantan isteri arwah, Tiara Jacquelina.
- Individu itu juga menceritakan tentang kehadiran seorang warga emas misteri yang tiba-tiba muncul di lokasi kejadian dan menundukkan kaki Allahyarham sebelum menghilang tanpa dikesan.
- Allahyarham Hani Mohsin meninggal dunia akibat serangan jantung pada 25 Julai 2006 ketika menunggu penerbangan ke Pulau Langkawi bersama anaknya, dan beliau dikenali sebagai pengacara serta pelakon popular era 90-an dan awal 2000-an.
Selepas tular satu hantaran di media sosial mengenai kisah pemergian pelakon dan pengacara popular era 80-an, Allahyarham Hani Mohsin, muncul pula perkongsian daripada seorang individu yang mendakwa berada di lokasi kejadian.

Menerusi perkongsian di Threads, individu dipercayai pernah berkhidmat di bahagian Aviation Security & Safety AirAsia tersebut mendakwa dia menyaksikan sendiri detik Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

“Meninggal di hadapan mata saya. Saya menjaga Hani Karmila semasa arwah hendak menghembuskan nafas terakhir.
“Penceritaan penuh saya sampaikan juga pada mantan isteri arwah, Tiara Jacquelina,” kongsinya.

Bukan itu sahaja individu itu juga mendakwa ada seorang warga emas yang tidak dikenali, tiba-tiba muncul di lokasi insiden.
Katanya, warga emas itu datang dan menundukkan kaki Allahyarham yang didapati terangkat.
Perbuatan itu tidak dihalang oleh sesiapa, dan warga emas itu kemudian terus menghilang di tengah orang ramai.
“Semasa nafasnya keluar, ada seorang orang tua yang kami tak kenal datang dan turunkan kakinya yang terangkat. Tiada sesiapa pun menghalang. Sungguh misteri hingga kini.
“Dia kemudian terus pergi, dan kami tak perasan ke mana dia menghilang.” ujarnya.

Allahyarham Hani Mohsin, 41, rebah ketika menunggu penerbangan ke Pulau Langkawi untuk bercuti bersama anaknya, Mila, pada 25 Julai 2006 sebelum disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
Arwah merupakan antara pengacara dan pelakon paling berpengaruh era 90-an dan awal 2000-an, terkenal melalui program popular Roda Impian.
Hani Mohsin pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penerbit, Tiara Jacquelina pada 11 September 1993 dan dikurniakan seorang anak perempuan. Namun, pasangan itu bercerai pada 1998.
Sumber: Threads