Pengacara dan penyampai radio, Hawa Rizwana akui terkejut apabila membaca ada segelintir netizen yang mahu memboikot rakan selebriti yang menjadi pembawa dulang semasa majlis pernikahan antara pelakon, Fattah Amin dan Amira Othman.
Menurut Hawa, dia hadir semata-mata untuk meraikan hari bahagia sahabatnya.
“Bagi saya terserah, masing-masing ada minatnya. Kita tak boleh nak bagi semua orang suka pada kita. Kita ada kekurangan dan kekuatan kita.
“Bagi saya terserah tapi kita ada di situ sebab nak raikan hari bahagia kawan kita. Tak ada niat yang tidak elok pun.
“Hanya untuk berada di situ bersyukur dengan kawan kita, jadi tak seronok sebenarnya bila dengan hal macam ni,” katanya kepada Gempak.
Hawa turut menegaskan prinsip hidupnya adalah untuk sentiasa memilih kebaikan meskipun berdepan dengan situasi yang kurang menyenangkan.
“Prinsip saya, kalau orang buat baik kita buat baik dengan orang. Kalau jahat pun kita tetap buat baik dengan orang. Tak kira apa pun saya rasa kita pilih benda baik berbanding benda yang tak elok.
“Kalau kita rasa tak suka, kita simpan daripada kita nak mengajak orang lain ke arah kebencian itu lagi tak bagus,” tambahnya.
Terdahulu, nama Hawa bersama beberapa selebriti lain seperti Anzalna Nasir, Bell Ngasri, Alvin Chong, Qasrina Karim dan Nabila Razali menjadi bualan selepas mereka dilihat membawa dulang hantaran pada majlis akad nikah Fattah dan Amira.
Majlis itu berlangsung dengan penuh meriah di Sepang dan menyaksikan Fattah dinikahkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dengan disaksikan bapa pengantin perempuan.
Pihak lelaki menerima lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang daripada pihak pengantin perempuan, manakala Amira menerima mas kahwin berupa seutas gelang tangan emas.