Skip to main content

Berita Tempatan

Aniq Suhair Sayu Berlakon Telefilem Terakhir Bersama Dharma Harun Al Rashid - "Cara Arwah Buat Saya Rasa Seperti Bersembang Dengan Datuk Sendiri"

aniq_dharma

Sekilas

  • Aniq Suhair terkejut dan sebak apabila mengetahui telefilem Ayah menjadi karya terakhir Allahyarham Dharma Harun Al Rashid.
  • Aniq memuji arwah Dharma sebagai pelakon legenda yang rendah diri, penuh kasih sayang dan banyak memberi ilmu di set penggambaran.
  • Allahyarham Dharma Harun Al Rashid meninggal dunia dan berita itu disahkan oleh anaknya, Muhammad Al Syafiq melalui Instagram Story.

Pelakon Aniq Suhair meluahkan rasa terkejut dan sebak selepas mengetahui telefilem Ayah, yang menampilkan dirinya bergandingan dengan Allahyarham Dharma Harun Al Rashid, rupa-rupanya menjadi karya terakhir legenda itu.

Aniq yang memegang watak sebagai anak kepada arwah tidak menyangka naskhah tersebut kini membawa makna yang jauh lebih mendalam.

"Saya rasa sangat sayu mengenangkan pemergian sebutir permata berharga dalam industri. Pada masa sama, saya bertuah kerana dapat berkongsi set dengan arwah," katanya kepada BH Online.

Menurut Aniq, dia sempat bertemu dengan anak arwah, Muhammad Al Syafiq, baru-baru ini dan sempat bertanyakan keadaan kesihatan bapanya.

"Syafiq maklumkan ayahnya dalam keadaan baik. Jadi apabila menerima berita pemergian arwah, saya sangat terkejut dan terkilan," ujarnya.

Bagi Aniq, arwah Dharma bukan sekadar ikon filem dan drama tanah air, tetapi seorang insan yang penuh kelembutan, pengalaman dan nilai kemanusiaan.

"Arwah bukan hanya seorang pelakon hebat, tetapi juga guru yang penuh pengalaman dan kasih sayang. Walaupun berstatus legenda, arwah sangat merendah diri, suka bergurau dan selalu menceriakan suasana di set.

"Cara arwah menegur, membimbing, menyakat dan berbual membuatkan saya rasa seperti sedang bersembang dengan datuk sendiri. Orangnya lembut, berbudi bahasa dan tidak pernah kedekut ilmu," katanya lagi.

Allahyarham Dharma Harun Al Rashid, yang dikenang menerusi lakonan ikonik dalam filem Adik Manja dan Sikit Punya Gila, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh anaknya, Muhammad Al Syafiq, 36, menerusi hantaran di Instagram Story. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan yang beriman.

Sumber: BH Online

Must-Watch Video

Advertisement