Skip to main content

Selebriti

Aliff Syukri Simpan Hasrat Mahu Berduet Dengan Siti Nurhaliza - “Angan-Angan Tak Salah, Lagu Raya Sikit Pun Jadilah, Tak Dapat Full, Hujung-Hujung…”

Aliff Syukri teringin berduet dengan Siti

Sekilas

  • Datuk Seri Aliff Syukri berhasrat untuk berduet dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza walaupun masih belum berani menghubungi penyanyi itu kerana jadualnya yang padat.
  • Aliff pernah cuba mengajak Ziana Zain untuk kolaborasi tetapi masih belum mendapat maklum balas daripada pihak Ziana.
  • Aliff juga akan melancarkan koleksi beg tangan AS bersama pelakon Izara Aishah dengan ganjaran cabutan bertuah berupa kereta Perodua Bezza pada 25 dan 31 Januari 2026.

Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri meluahkan hasratnya untuk berduet bersama biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menurut Aliff, sebelum ini dia pernah meminta pihak pengurusannya mendekati penyanyi Ziana Zain bagi tujuan kolaborasi, namun masih belum menerima sebarang maklum balas.

Namun dalam masa yang sama, Aliff mengakui berasa segan untuk menghubungi Siti kerana menghormati jadual padat penyanyi berkenaan yang sebelum ini sibuk dengan konsert.

“Saya sebenarnya ada buat permintaan nak minta berduet dengan Ziana Zain tapi Ziana belum memberikan respon lagi, saya dah tunggu lama.

“Pengurus saya dah approach Ziana dalam bulan lepas, tapi masih menunggu keputusan dia. Nak minta kat Siti Nurhaliza tapi macam takut tak layan jadi kita senyap sahajalah.

“Menghormati dia sebab konsert dia banyak sangat kan. Sekarang pun difahamkan Datuk Siti tengah sibuk di Dubai, berehat di sana,” katanya.

Bagaimanapun, Aliff tidak menafikan dia sering mengimpikan peluang untuk berkerjasama dengan Siti dan menganggap impian tersebut sebagai satu angan-angan yang tidak salah untuk disuarakan.

“Kepada Siti Nurhaliza, saya bermimpi sahajalah kan angan-angan tak pernah salah kan. Tapi lagu saya semua trending.

“Siti Nurhaliza, saya teringin sangat nak buat lagu dengan awak. Awak sudilah buat lagu dengan saya, buat lagu raya sedikit sahaja pun jadilah.

“Kalau tidak boleh bahagian penuh, dapat yang hujung pun tidak mengapa. Bolehlah, sedikit sahaja saya mahu berduet.

“Bagilah impian saya tertunai sebelum saya mati,” ujarnya.

Dalam perkembangan terbaharu Aliff sekali lagi bakal mencipta fenomena baharu menerusi jenama beg tangan AS dengan kolaborasi bersama pelakon, Izara Aishah.

Menampilkan empat koleksi eksklusif iaitu Bolaia, Belta, Bucket & Moola, kesemua koleksi rekaan ini dipilih sendiri oleh Izara Aishah.

Aliff juga turut mengumumkan akan memberi ganjaran sebuah kereta Perodua Bezza kepada pembeli bertuah sebagai tanda sokongan mereka terhadap jenama AS.

Untuk info, pembeli harus membeli beg tersebut semasa sesi pelancaran di platform penstriman langsung pada 25 Januari 2026, jam 8:00 malam menerusi platform akaun TikTok Shop @papalarisofficial.

Pembeli yang membuat pembelian koleksi Izara x AS pada malam tersebut secara langsung berpeluang melayakkan mereka menyertai cabutan bertuah bagi memenangi kereta Perodua Bezza.

Cabutan akan dibuat pada 31 Januari 2026 pada pukul 8:00 malam dan pemenang akan diumumkan pada malam tersebut.

Pembeli yang telah membeli pada sesi penstriman langsung pada 25 januari perlu menonton sesi live pada 31 Januari bagi mendapatkan kata kunci kepada pembeli bertuah yang dihubungi secara langsung.

Must-Watch Video

Advertisement