Pelakon, Datuk Aaron Aziz dan isteri Datin Diyana Halik mengesahkan telah menerima surat tuntutan (LOD) daripada pempengaruh, Sharina Richie.
Menurut Aaron, dia sangat terkejut menerima LOD itu kerana pihak Sharina mahu menyaman anaknya, Dwi Ariana sebanyak RM2 Juta.
Advertisement
“Pagi tadi saya dah terima satu LOD yang agak mengejutkan dimana dalam LOD ini pihak sebelah sana mahu menyaman anak saya sebanyak RM2 juta. Saya tak faham apa salah anak saya, dia tertekan dekat luar negara dengan ada peperiksaan lagi.
“Kalau nak serang-serang lah ayah dia, sebab anak saya tak buat apa-apa pun, dia cuma bertanya kenapa tak delete video dan jawab soalan yang diberikan, dah buat salah bersedia untuk kena sama. Itu sahaja bukannya satu jenayah , bukan maki-maki atau kutuk. Semua statement anak saya ada dalam LOD ini,” katanya kepada Gempak
Bagaimanapun, sebagai bapa Aaron menengaskan dia tidak akan berdiam diri dan akan membela nasib anaknya itu.
“Bila dapat LOD ini memang saya sebagai ibu bapa kalau boleh tak nak beritahu anak saya, kami tak nak kacau emosi dia tapi bila pihak sana sudah muat naik video dan terang-terang sebut nama anak saya, jadi saya perlu membela anak saya,” tambahnya.
Sementara itu, Datin Diyana Halik juga memberitahu bahawa mereka tetap akan meneruskan saman terhadap pempegaruh dan menyerahkan kepada peguam, Mahmud Jumaat untuk tindakan selanjutnya.
“Macam mana pun kami akan teruskan saman, untuk yang lain kami serahkan kepada pihak peguam kami untuk menasihatkan apa yang baik apa yang tidak untuk kami,” ujarnya.
Terdahulu, tular satu video suntingan yang menunjukkan seolah-olah aktor asal Singapura itu mempertikaikan tindakan aktivis kemanusiaan GSF, sekali gus membuatkan dia menerima pelbagai kecaman daripada netizen.
Aaron kemudian tampil mempertahankan diri dan meminta netizen menonton rakaman penuh temu bual berkenaan sebelum membuat sebarang andaian.
Dalam masa sama, anak keduanya, Dwi Ariana turut mempertahankan ayah tercintanya dan mengecam kembali tindakan pempengaruh tersebut.
Susulan itu, Sharina membuat laporan polis selepas menerima ancaman terhadap diri dan keluarganya.
Dia menjelaskan tindakannya membuat surat tuduhan ke atas Dwi berpunca daripada rasa diperlekeh walaupun sudah memohon maaf secara terbuka, selain mendakwa peguam Aaron menghubungi ibunya secara tidak profesional.