Sekilas
- Usanita Sdn. Bhd melancarkan program Usanita: Affiliate Wanita Berjaya untuk bantu usahawan wanita di Selangor dan Wilayah Persekutuan jana pendapatan digital tanpa modal permulaan.
- Program ini disokong oleh Maybank Islamik dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, sebagai usaha memperkasa wanita melalui teknologi.
- Peserta hanya perlu guna telefon pintar dan internet untuk mula berniaga di platform e-dagang dengan sasaran pendapatan minimum RM300 sebulan dan simpanan RM1,000 sebelum tamat program.
Syarikat milik usahawan, Datin Seri Datuk Adzliana Prof. Datuk Seri Dr. Hasan iaitu Usanita Sdn. Bhd melancarkan program Usanita: Affiliate Wanita Berjaya bagi membantu usahawan wanita khusus di Selangor dan Wilayah Persekutuan untuk menjana pendapatan secara digital.
Menjalinkan kerjasama strategik bersama Maybank Islamik, program yang menyasarkan suri rumah, wanita tidak bekerja serta anak perempuan asnaf ini mahu memberi peluang kepada semua peserta menjana pendapatan dari rumah melalui
platform e-dagang seperti TikTok Shop dan Shopee tanpa memerlukan modal permulaan.
Lebih manis, majlis pelancaran program ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, yang hadir memberi sokongan kepada usaha memperkasa wanita melalui teknologi dan pendigitalan.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr Noraini menegaskan bahawa program ini sejajar dengan perkembangan semasa.
“Program Usanita: Affiliate Wanita Berjaya ialah sebuah inisiatif berimpak tinggi hasil kerjasama strategik antara Usanita Sdn Bhd dan Maybank Islamic.
“Ia mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa wanita agar mereka dapat membina masa depan yang lebih stabil, berdikari dan berdaya saing,” katanya.
Tambah beliau, ekonomi digital masa kini mampu membuka ruang yang lebih fleksibel kepada wanita terutama buat suri rumah yang ingin menyumbang kepada pendapatan keluarga tanpa perlu bekerja.
“Dalam era digital masa kini, peluang menjana pendapatan semakin fleksibel dan tidak lagi terhad kepada kaedah tradisional. Wanita kini mampu mengambil bahagian dalam ekonomi digital hanya dari rumah melalui penggunaan teknologi dan platform dalam talian,” jelasnya.
Sementara itu, Datin Seri Datuk Adzliana atau lebih mesra dikenali sebagai Datuk Nana memaklumkan bahawa program ini lahir bagi memperluaskan lagi peluang ekonomi kepada golongan wanita asnaf agar mereka mampu berdiri atas kaki sendiri.
“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dan berbesar hati memperkenalkan Usanita: Affiliate Wanita Berjaya, sebuah program pembangunan keusahawanan digital yang ditaja sepenuhnya untuk wanita asnaf di Selangor dan Wilayah Persekutuan.
“Program ini dirangka khusus bagi memberi peluang kepada para suri rumah, wanita tidak bekerja dan anak-anak perempuan asnaf untuk menjana pendapatan dari rumah melalui platform dalam talian,” katanya.
Tambah Datuk Nana, pengalaman Usanita dalam membimbing usahawan B40 dan M40 sebelum ini juga menjadi asas kukuh kepada penambahbaikan modul pembelajaran, sekali gus mahu memastiklan setiap peserta mendapat manfaat yang menyeluruh dan berkesan.
“Usanita sendiri sudah lama menjalankan program perintis yang memberi tumpuan kepada penjenamaan dan pendigitalan. Pengalaman ini membolehkan kami menambah baik pendekatan bimbingan, serta memastikan setiap peserta mendapat manfaat yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi,” ujarnya.
Untuk info, program ini dijangka bermula awal tahun hadapan sekali gus menjadi pemangkin buat Usanita dalam memperkara wanita secara kolektif sekali meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat.
Bagi program ini, peserta hanya perlu menggunakan telefon pintar serta capaian internet untuk memulakan langkah pertama mereka dalam ekonomi digital.
Usaha ini juga menetapkan sasaran agar setiap peserta mampu menjana pendapatan minimum RM300 sebulan selain mencapai simpanan pertama berjumlah RM1,000 sebelum program tamat.