Bila bercakap mengenai kanser payudara, rata-rata antara kita akan tertumpu kepada golongan wanita.
Namun tahukah anda kaum Adam juga boleh menghidap kanser payudara.
Menurut pencipta kandungan kesihatan, Muhammad Noor Zakaria atau lebih dikenali sebagai Mdno bahaya utama kanser payudara dalam kalangan lelaki ialah kesedaran yang sangat rendah.
Ramai lelaki tidak menyedari mereka berisiko, malah ada yang malu untuk berjumpa doktor, menyebabkan penyakit hanya dikesan apabila sudah di tahap serius.
“Ramai ingat kanser payudara hanya penyakit wanita. Tapi sebenarnya, lelaki pun boleh kena sebab kita juga ada tisu payudara di belakang puting.
“Lelaki biasanya tak buat pemeriksaan sebab rasa tak mungkin boleh kena. Bila sedar, dah masuk stage 3 atau 4,” katanya.
Mdno turut berkongsi beberapa simptom awal kanser payudara lelaki yang perlu diberi perhatian antaranya adalah ketulan di belakang puting, keluar cecair putih atau merah dari puting, puting termasuk ke dalam (inverted nipple), kulit di sekitar dada berkedut atau kemerah-merahan.
Jika tanda-tanda ini muncul dan tidak hilang lebih daripada lima minggu, Mdno menasihatkan supaya segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Antara faktor utama yang boleh meningkatkan risiko penyakit ini termasuklah faktor genetik (mutasi BRCA2), ketidakseimbangan hormon, terutamanya apabila paras estrogen terlalu tinggi, masalah hati kronik atau obesiti, sejarah keluarga yang pernah menghidap kanser payudara dan usia meningkat, biasanya selepas 60 tahun.
Mdno menasihatkan lelaki supaya berani menjalani pemeriksaan dan mengamalkan gaya hidup sihat seperti menjaga berat badan, tidak mengambil alkohol serta menjalani saringan kesihatan tahunan, terutamanya selepas usia 40 tahun.