Sekilas
- Chacha Maembong kini lebih fokus kepada kesihatan selepas jadual kerja yang padat memberi kesan kepada tubuhnya.
- Dia cuba bersenam dan memilih makanan sihat, termasuk membawa bekalan sendiri ke lokasi penggambaran.
- Usahanya ini membantu menurunkan berat badan dan membuatkan dia rasa lebih sihat.
Dipuji semakin langsing, pelakon Chacha Maembong mengakui dia mula memberi perhatian terhadap kesihatan selepas jadual kerja padat memberi kesan kepada tubuh.
Menurut Chacha, dia akan mencuba mencari masa untuk bersenam selain memilih makanan yang sihat biarpun berada di lokasi penggambaran.
“Saya tak kata diet sepenuhnya, tapi saya mula kurangkan makan dan cuba amalkan gaya hidup lebih sihat.
“Sebelum ini memang sibuk sangat, tidur lewat, minum kopi setiap hari. Jadi bila ada masa, saya cuba bersenam dan makan lebih sihat walaupun di lokasi penggambaran,” katanya kepada Gempak.
Kata adik kepada pelakon Emma Maembong ini, usaha kecil seperti membawa bekalan makanan sendiri ke set sedikit sebanyak membantu mengekalkan kesihatan.
“Kalau tak sempat bersenam pun, sekurang-kurangnya saya jaga pemakanan. Saya bawa makanan dari rumah supaya lebih sihat.
“Sedar tak sedar, berat badan pun turun. Yang penting, saya rasa lebih sihat sekarang,” luahnya.
Untuk info, drama lakonan Chacha dengan pelakon Tracie Sinidol, Datuk Yusry dan Hariz Hamdan iaitu Dendam Seorang Mentua kini sedang ditayangkan di Astro Ria.