Skip to main content

Selebriti

Penyanyi Lagenda Asha Bhosle Meninggal Dunia Pada Usia 92 Tahun

Astrogempak

Sekilas

  • Penyanyi legenda India, Asha Bhosle, meninggal dunia pada usia 92 tahun akibat serangan jantung di Mumbai.
  • Beliau merakam lebih 12,000 lagu dalam lebih 20 bahasa dan diiktiraf Guinness World Records sebagai artis dengan jumlah rakaman terbanyak dalam sejarah muzik.
  • Asha dikenang sebagai ikon muzik Bollywood yang membentuk era keemasan muzik India bersama suaminya, komposer R.D. Burman.

Dunia seni dan hiburan India kehilangan seorang lagi permata tidak ternilai apabila penyanyi legenda Asha Bhosle meninggal dunia pada usia 92 tahun di Hospital Breach Candy, Mumbai.

Memetik laporan agensi NDTV, Asha, meninggal dunia akibat serangan jantung.

Pemergian adik kepada seorang lagi legenda Bollywood, Lata Mangeshkar yang meninggal dunia pada 2022, menandakan berakhirnya satu era keemasan muzik India yang dibentuk oleh suara-suara ikonik selama lebih setengah abad.

Asha dilahirkan pada 8 September 1933 di Sangli, Maharashtra, dalam keluarga seni Mangeshkar yang terkenal.

Mewarisi bakat dari ayahnya yang juga penyanyi klasik terkenal Pandit Deenanath Mangeshkar, Asha mula menyanyi seawal usia kanak-kanak selepas kematian bapanya demi membantu menyara keluarga.

Beliau memulakan kerjaya rakaman pada awal 1940-an dan secara konsisten aktif selama lebih tujuh dekad, satu pencapaian luar biasa dalam industri hiburan.

Asha dikenali sebagai antara penyanyi paling prolifik dalam sejarah muzik dunia. Sepanjang kerjayanya, beliau merakamkan lebih 12,000 lagu dalam lebih 20 bahasa, termasuk Hindi, Marathi, Bengali, Tamil, Telugu dan beberapa bahasa asing.

Keupayaan vokalnya yang luar biasa membolehkan beliau menguasai pelbagai genre, daripada lagu klasik, ghazal dan bhajan, sehinggalah pop, cabaret dan lagu eksperimental, menjadikannya unik berbanding penyanyi lain pada zamannya.

Pada 2011, beliau diiktiraf Guinness World Records sebagai artis dengan jumlah rakaman terbanyak dalam sejarah muzik.

Pada peringkat awal kerjaya, Asha sering diberikan lagu-lagu bercorak ceria, berani dan cabaret, yang akhirnya menjadi identiti tersendiri beliau. Lagu-lagu seperti Dum Maro Dum, Piya Tu Ab To Aaja dan Yeh Mera Dil terus menjadi siulan hingga ke hari ini.

Namun, Asha tidak pernah terhad kepada satu genre. Kejayaannya menyampaikan lagu ghazal seperti Dil Cheez Kya Hai (Umrao Jaan) dan Mera Kuch Saamaan (Ijaazat) membuktikan keupayaannya sebagai penyanyi versatil, malah menang beberapa anugerah kebangsaan.

Nama Asha amat erat dengan komposer legenda Rahul Dev Burman (R.D. Burman), yang juga merupakan suaminya. Kerjasama mereka melahirkan ratusan lagu ikonik yang membentuk landskap muzik Bollywood era 1960-an hingga 1980-an.

Gabungan suara Asha yang ekspresif dan komposisi eksperimen R.D. Burman mencipta bunyi baharu yang kekal relevan sehingga kini.

Di sebalik kejayaan seni yang gemilang, kehidupan peribadi Asha turut diwarnai cabaran besar, termasuk perkahwinan yang sukar, tekanan hidup awal sebagai ibu muda, serta tragedi kehilangan anak perempuannya, Varsha Bhosle, pada 2012.

Namun demikian, Asha dikenang sebagai figura cekal yang tidak pernah menjauhkan diri daripada muzik, bahkan terus aktif menyanyi dan membuat persembahan sehingga usia lanjut.

Sepanjang hayatnya, Asha menerima pelbagai anugerah tertinggi India, antaranya Dadasaheb Phalke Award (2000); Padma Vibhushan (2008); dua Anugerah Filem Kebangsaan India; lapan. Anugerah Filmfare, termasuk Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat

Pemergian Asha disifatkan bukan sekadar kehilangan seorang penyanyi, tetapi simbol penutupan generasi emas muzik India, selepas kepergian tokoh-tokoh besar seperti Lata Mangeshkar, Mohammed Rafi dan Kishore Kumar.

Sumber: Astro AWANI

Anda mungkin berminat dengan

TNW S30 Selfie Stick Tripod 3 in 1 Quadrapod Wireless Selfie Stick Bluetooth Remote 360° Phone Tripod Stand with Light

TNW S30 Selfie Stick Tripod 3 in 1 Quadrapod Wireless Selfie Stick Bluetooth Remote 360° Phone Tripod Stand with Light

Nike Club T-Shirt - Black

Nike Club T-Shirt - Black

Tudung Bawal Cotton Bidang 45 NEW COLOUR Bucu Tajam Square Hijab

Tudung Bawal Cotton Bidang 45 NEW COLOUR Bucu Tajam Square Hijab

XJ Mini Magnetic GPS Tracker

XJ Mini Magnetic GPS Tracker

[BARU RESTOCK] Dr Cardin Drift Ballet Ladies Comfort Sneaker / MaryJanes L-RQA-3826 Kasut Bella Astillah *READY STOCK

[BARU RESTOCK] Dr Cardin Drift Ballet Ladies Comfort Sneaker / MaryJanes L-RQA-3826 Kasut Bella Astillah *READY STOCK

Must-Watch Video

Advertisement