Sekilas
- Kakak seorang pelakon popular dan seorang wanita tempatan berusia 40-an ditahan polis di Bedong berhubung penemuan dadah jenis syabu dalam sebuah rumah.
- Pemeriksaan menemui 5.45 gram syabu dalam beg silang di atas katil, dan kedua-dua suspek didapati bebas dadah serta tiada rekod jenayah lampau.
- Mereka direman dua hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39(A)1 Akta Dadah Berbahaya 1952 oleh polis Kuala Muda.
Kakak kepada seorang pelakon popular ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan dadah jenis syabu di dalam beg silang pada Selasa.
Tangkapan ke atas suspek berusia dalam lingkungan 50-an dan seorang lagi wanita tempatan berusia 40-an itu dilakukan sepasukan polis pada pukul 6.45 petang di sebuah rumah di Taman Lembah Bujang Saujana, Bedong di sini.
Pemeriksaan di dalam beg itu menemukan balutan plastik berwarna hitam yang diikat getah dan dua peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu seberat 5.45 gram. Dadah itu dijumpai pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuala Muda di atas katil dalam bilik di rumah berkenaan.
Kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut, namun ujian saringan air kencing mendapati mereka bebas dadah, malah kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod lampau.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan tangkapan itu dan memberitahu, kedua-dua suspek direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39(A)1 Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: Kosmo