Kumpulan nasyid terkenal Inteam bakal meraikan 25 tahun dalam industri seni dengan mengadakan Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih pada 1 Februari 2026.
Konsert anjuran ICON Entertainment itu akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil dengan kapasiti sekitar 9,500 penonton sekali gus bakal menjadi konsert nasyid pertama diadakan di lokasi tersebut.
Advertisement
Pengasasnya, Iman Tang berkata ICON mahu memastikan genre kerohanian terus mendapat perhatian dalam penganjuran konsert berskala besar.
"Sebagai penganjur, kami meraikan karyawan seni dalam pelbagai sektor dan genre muzik. Tentu sahaja salah satu genre yang tidak kami lupakan adalah yang bersifat nasyid atau kerohanian.
"Kami melihat bahawa bukan genre pop rock sahaja yang boleh menguasai dunia industri hiburan. Kalau boleh, saya ingin sahut cabaran untuk menghasilkan nasyid lebih dari satu malam jika ada sokongan, kandungan menarik serta penganjuran yang tersusun. Saya yakin kita mampu mengangkat semula genre ini ke tahap yang lebih tinggi.
"Ini juga bukan penganjuran konsert bersifat kerohanian pertama yang pernah kami anjurkan. Ia amat istimewa buat kami dan sangat memberi makna kepada Inteam dalam perjalanan lebih dua dekad keberadaan mereka dalam industri hiburan tanah air,"katanya.
Tambahnya, pemilihan Inteam dianggap tepat dengan usaha ICON untuk mengangkat semula muzik nasyid agar terus relevan dan diterima dari pelbagai peringkat usia.
“Sebagai pengasas, saya sangat teliti dalam memilih artis untuk setiap penganjuran. Bagi saya, Inteam adalah salah satu ikon nasyid yang berjaya mengekalkan identiti mereka. Sebelum ini kita ada Rabbani, UNIC dan Hijaz, namun Inteam saya anggap sebagai kumpulan yang menjadi 'trendsetter' dan paling sesuai bersama ICON," ujarnya.
Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih bakal menampilkan empat ahlinya iaitu Muhammad Hazamin Harun, Mohd Syahril Ab Khalid, Abdul Rahim Osman, Hisyam Ahmad serta beberapa artis jemputan istimewa yang akan diumumkan kemudian.
Lebih menarik, konsert ini turut menawarkan cabutan bertuah untuk penonton bertuah yang hadir termasuk pakej umrah bernilai RM8,999, dua buah skuter, dan sebuah telefon pintar.
Tiket konsert ini boleh didapati di www.ticket2u.com.my dengan harga antara RM168 hingga RM488.