Skip to main content

Berita

"Detik Ini Takkan Saya Lupakan" - Delegasi, Wartawan Timor-Leste Sebak Saat Negara Diterima Sebagai Anggota ASEAN ke-11

BIUHIUHIU

Suasana di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pagi ini bertukar sebak apabila kira-kira 30 delegasi dari Timor-Leste termasuk wakil media, mengalirkan air mata kegembiraan selepas negara itu secara rasmi diterima sebagai anggota ke-11 ASEAN.

Delegasi Media Timor-Leste, Francisca Maia berkata, dia berasa amat bangga dapat menyaksikan detik bersejarah itu secara langsung ketika membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Advertisement

"Detik ini tidak akan saya lupakan sampai bila-bila kerana kami sudah menunggu detik ini terlalu lama.

"Akhirnya kami diterima secara rasmi menjadi sebahagian ASEAN," katanya ketika ditemui di Pusat Media Antarabangsa (IMC) di KLCC, hari ini.

Sementara itu, wartawan SMNews Timor-Leste, Remizia Boavida turut melahirkan rasa terharu menyaksikan pengumuman yang mengiktiraf negaranya menjadi anggota ASEAN.

"Negara kami kini menjadi sebahagian daripada ASEAN. Ia satu perasaan yang sangat membanggakan dan kami amat menghargainya.

"Terima kasih kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 dan juga kepada semua negara anggota," katanya.

Sekumpulan wakil pemberita dari negara itu turut bersorak dan berpelukan sebaik momen bersejarah itu disahkan semasa sesi rasmi sidang kemuncak berkenaan.

Detik bersejarah itu dimuktamadkan apabila Timor-Leste menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN serta Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), sekali gus mengesahkan penyertaannya sebagai ahli penuh ASEAN.

Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao turut menyampaikan ucapan ringkas sejurus selepas pengumuman rasmi diterima, menyifatkannya sebagai satu kemenangan besar buat rakyat negaranya selepas perjuangan panjang selama lebih dua dekad.

Selepas memperoleh kemerdekaan pada 2002, Timor-Leste menyatakan hasrat menyertai ASEAN sebagai sebahagian daripada integrasi serantau dan mengemukakan permohonan rasmi pada 2011.

Namun, proses keanggotaan mengambil masa panjang kerana perlu menilai kesediaan ekonomi, kapasiti institusi serta mencapai konsensus bersama kesemua negara anggota ASEAN.

Ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Phnom Penh, Kemboja pada November 2022, pemimpin ASEAN sebulat suara bersetuju menerima Timor-Leste sebagai ahli ke-11 secara dasar dan memberinya status pemerhati, sebelum keanggotaan penuh dimuktamadkan tahun ini di Kuala Lumpur.

Dengan kemasukan rasmi ini, ASEAN kini melengkapkan keanggotaan kepada 11 negara menandakan era baharu kerjasama serantau di bawah semangat 'Satu ASEAN, Satu Komuniti'.

Sumber: Harian Metro

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement