Skip to main content

Jenayah

Bayi Dibuang Belakang Rumah Bongkar Perbuatan Sumbang Mahram Kakak Dengan Adik Lelaki, Dipercayai OKU Lembam

bayi

Sekilas

  • Seorang bayi lelaki ditemui ditinggalkan di belakang rumah di Kampung Alor Lintang, Besut, yang mendedahkan kes sumbang mahram melibatkan remaja perempuan 16 tahun dan adik lelakinya berusia 14 tahun.
  • Remaja lelaki tersebut ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 317 dan Seksyen 376B Kanun Keseksaan, dengan hukuman penjara dan sebatan jika sabit kesalahan.
  • Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebar maklumat palsu dan berhemah dalam memberi kenyataan bagi mengelakkan gangguan siasatan kes ini.

Penemuan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di belakang sebuah rumah di Kampung Alor Lintang, Kampung Raja di sini pada Ahad membongkar kes sumbang mahram membabitkan seorang remaja perempuan dan adik lelakinya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh berkata, hasil siasatan mendapati bayi berkenaan adalah hasil hubungan terlarang remaja perempuan berusia 16 itu yang dilahirkan secara rahsia.

"Sejurus selepas dilahirkan, bayi itu dilaporkan telah dibuang oleh suspek sebelum ditemui oleh salah seorang penghuni rumah di situ," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

​Beliau berkata, polis telah menahan reman seorang remaja lelaki berusia 14 tahun sehingga tujuh hari bermula Isnin bagi membantu siasatan.

"Mahkamah membenarkan lelaki tersebut ditahan untuk siasatan menyeluruh berhubung kes itu.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan berkaitan dengan kesalahan membuang bayi, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

​"Siasatan turut dijalankan bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana perbuatan sumbang mahram, iaitu hubungan seks oleh individu yang tidak dibenarkan berkahwin oleh hukum agama.

"Seksyen ini membawa hukuman penjara yang sangat berat, iaitu tidak kurang dari enam tahun dan tidak lebih 20 tahun, serta sebatan," ujar beliau.

Beliau berkata, perbuatan membuang bayi ini adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan hukum agama serta jelas menafikan hak seorang bayi untuk hidup.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan maklumat palsu atau tidak benar berhubung kes tersebut.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan atau menyebar maklumat tidak tepat di media sosial berhubung kes tersebut," katanya.

Dalam perkembangan sama, lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes sumbang mahram dan buang bayi pada Ahad dipercayai orang kurang upaya (OKU) lembam.

"Polis telah menahan reman seorang remaja lelaki berusia 14 tahun bermula Isnin hingga 21 Disember ini bagi membantu siasatan.

"Buat masa ini belum ada ahli keluarga lain atau saksi yang dipanggil untuk dirakam keterangan," katanya.

Pada Ahad tular di media sosial penemuan seorang bayi dan difahamkan, bayi tersebut telah dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan dan tindakan lanjut.

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement