Sekilas
- Johnson Wen, dikenali sebagai ‘Pyjama Man’, diusir dari konsert Lady Gaga di Brisbane beberapa jam sebelum acara bermula.
- Wen mempunyai rekod gangguan di konsert artis terkenal seperti Ariana Grande, Katy Perry, dan The Weeknd, serta pernah dipenjara di Singapura kerana mengganggu ketenteraman awam.
- Tindakannya sering dirakam dan dikongsi di media sosial sebagai cara menarik perhatian ramai.
Lelaki yang dikenali sebagai Johnson Wen sekali lagi mengundang perhatian ramai apabila diusir dari konsert Lady Gaga yang berlangsung di Suncorp Stadium, Brisbane, Australia.
Menerusi hantaran beberapa video di media sosial, tular memaparkan Wen, 26, diusung keluar oleh beberapa pengawal difahamkan beberapa jam sebelum konsert itu bermula.
Perkara itu juga disahkan oleh Wen, yang dikenali sebagai ‘Pyjama Man’ di Instagram.
“Saya dihalau keluar daripada konsert Lady Gaga! Persembahan pun belum mula sampai pukul 8 malam! Peminat awal semua boo saya,” tulisnya.
Setakat ini, wakil Lady Gaga dan Suncorp Stadium belum memberikan sebarang komen.
Sebelum ini, Wen pernah melompat penghadang dan memegang Ariana Grande ketika tayangan perdana Wicked: For Good di Singapura.
Susulan insiden itu, Wen berdepan pertuduhan mengganggu ketenteraman awam dan selepas mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman sembilan hari penjara.
Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Mahkamah Daerah Singapura, Christopher Goh, menyifatkan tindakan Wen sebagai dirancang dan menunjukkan pola kelakuan berulang.
Jun lalu, dia melakukan perkara sama apabila secara tiba-tiba naik ke atas pentas dalam konsert penyanyi Katy Perry di Sydney, Australia.
Tahun lalu pula, dia pernah dikenakan bayaran denda gara-gara menyerang konsert The Weeknd.
Malah Johnson juga pernah membuat kecoh di Sukan Olimpik Paris 2024 ketika acara 100 meter lelaki.
Menerusi pemehatian, Johson sengaja menjadikan tindakannya itu sebagai satu kandungan di media sosial untuk menarik perhatian ramai.