Sekilas
- Seorang wanita Brazil dijatuhi hukuman penjara setahun yang digantung dua tahun kerana mengganggu dan mengekori Jungkook BTS sebanyak 22 kali sejak Disember tahun lalu.
- Wanita itu pernah menekan loceng rumah Jungkook sebanyak 133 kali dalam satu kunjungan dan meninggalkan gambar serta surat di kediamannya.
- Polis mengeluarkan perintah larangan 100 meter dari kediaman Jungkook, tetapi wanita tersebut mengingkarinya sebelum kes dirujuk ke pendakwa raya.
Seorang wanita warga Brazil dijatuhi hukuman penjara setahun yang kemudian digantung selama dua tahun selepas didapati berulang kali mengganggu dan mengekori bintang K-pop terkenal, Jungkook BTS.
Hukuman tersebut diputuskan Mahkamah Daera Seoul atas dakwaan wanita yang identitinya tidak didedahkan itu menganggu privasi dan keselamatan bintang tersebut, lapor BBC.
Menurut kronologi kes, wanita tersebut mula mengekori Jungkook pada Disember tahun lalu. Sejak itu, dia telah mengunjungi kediaman penyanyi berusia 28 tahun tersebut sebanyak 22 kali.
Malah lebih ekstrim, wanita berkenaan dilaporkan pernah menekan loceng rumah Jungkook sebanyak 133 kali dalam satu ‘kunjungannya’.
Dia juga didapati meninggalkan gambar dan surat di hadapan kediaman idolanya itu.
Wanita itu pertama kali menceroboh ke kediaman Jungkook pada 7 Disember lalu sebelum berkeliaran di sekitar rumah, membaling beberapa barangan ke dalam kawasan kediaman dan menyelitkan surat melalui celah pintu pagar.
Beberapa hari kemudian, dia kembali semula dan bertindak menekan loceng rumah sebanyak 133 kali, yang menurut mahkamah menunjukkan tahap obsesi yang melampau.
Pada 13 Disember, wanita itu ditahan selepas mengekori seorang penghantar makanan untuk memasuki kawasan kediaman melalui pintu sisi.
Walaupun dibebaskan sehari kemudian dengan amaran supaya tidak menghampiri rumah Jungkook, dia terus mengingkari arahan tersebut.
Polis kemudian mengeluarkan perintah kecemasan yang melarang wanita itu berada dalam lingkungan 100 meter dari kediaman Jungkook, namun arahan tersebut turut tidak dipatuhi. Susulan itu, pihak berkuasa merujuk kes berkenaan kepada pendakwa raya pada Februari lalu.
Selain hukuman penjara yang digantung, wanita tersebut berkemungkinan akan dihantar pulang ke negara asalnya kecuali berjaya mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah.
Terdahulu pada Jun tahun lalu, seorang wanita warga China berusia lingkungan 30-an turut ditahan selepas cuba menceroboh kediaman Jungkook hanya beberapa jam selepas anggota BTS itu menamatkan perkhidmatan ketenteraannya.