Sekilas
- Pelakon Yusuf Hashim mengakui berasa gementar tetapi bersyukur diberi peluang memegang watak Gusti Adipati dalam pementasan semula Puteri Gunung Ledang The Musical.
- Yusuf masih belum memulakan latihan serius kerana komitmen penggambaran, dan akan fokus mendalami budaya Jawa serta skrip selepas itu.
- Pihak produksi memilih Yusuf selepas sesi uji bakat, walaupun ada segelintir pihak meragui pemilihannya untuk watak berprestij itu.
Pelakon Yusuf Hashim mengakui berasa gementar apabila diberi kepercayaan menggalas watak Gusti Adipati dalam pementasan semula Puteri Gunung Ledang The Musical.
Menurut Yusof, dia menyedari watak tersebut merupakan antara karakter yang menjadi impian ramai penggiat teater sejak sekian lama.
“Saya memang rasa gementar, tetapi saya melihat ini sebagai rezeki daripada Allah.
“Saya tahu ramai termasuk penggiat teater hebat yang mengidamkan watak Gusti Adipati sejak sekian lama,” katanya ketika ditemui pada malam gala filem Kata Hati di GSC Mid Valley, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Yusof percaya pihak produksi mempunyai alasan tersendiri memilihnya selepas melalui sesi uji bakat.
“Namun, pastinya ada sebab pihak Infinity memilih saya selepas melalui sesi uji bakat,” ujarnya.
Mengulas mengenai persiapan, pelakon berusia 33 tahun itu berkata dia masih belum memulakan latihan secara serius kerana perlu menyelesaikan beberapa penggambaran terlebih dahulu.
“Saya masih ada beberapa bulan sebelum pementasan, jadi tiada alasan untuk saya tidak menjalani latihan.
“Sebelum menghafal dialog dan lagu, saya mahu mengkaji budaya Jawa terlebih dahulu termasuk cara duduk, pertuturan, adab masyarakat terdahulu serta hierarki dalam keraton,” katanya.
Tambah Yusof lagi, dia mahu memberikan fokus sepenuhnya terhadap watak tersebut selepas selesai komitmen penggambaran semasa.
“Memandangkan watak Adipati sangat besar, saya ketepikan dahulu buat sementara waktu. Selepas selesai penggambaran, barulah saya akan memberi fokus sepenuhnya terhadap skrip,” katanya.
Dalam masa sama, Yusof turut mengulas mengenai keraguan segelintir pihak yang mempertikaikan pemilihannya memegang watak berkenaan.
“Watak Gusti Adipati memang menjadi idaman ramai. Kalau bukan saya sekalipun, individu lain yang memegang watak ini tetap akan menerima tohmahan sama kerana jangkaan orang ramai terlalu tinggi.
“Ada yang mengenali saya menerusi Dubsmash, ada yang tahu saya sebagai penari dan pelakon. Saya rasa tidak perlu memberi penjelasan kepada sesiapa,” katanya
.
Menurutnya, apa yang lebih penting adalah dia mengetahui kemampuan diri selain mahu membuktikan kepercayaan diberikan pihak produksi.
“Cukup sekadar saya tahu kemampuan diri dan pihak Infinity juga tahu apa yang mereka nilai ketika sesi uji bakat. Selebihnya, saya hanya perlu bekerja keras,” ujarnya.
Terdahulu, pihak produksi memaklumkan pementasan kali ini tampil dengan sedikit kelainan apabila menampilkan dua pelakon bagi watak Puteri Gunung Ledang dan Bayan.
Pelakon Mila Mohsin dan penyanyi Aisha Retno diumumkan sebagai pemegang watak Puteri Gunung Ledang.
Sementara itu, Mimi Fly dan Nadiah Aqilah pula dipilih sebagai pemeran watak Bayan.
Turut diumumkan, Luqman Hafidz bakal memegang watak Sultan Melaka.