Sekilas
- Pelakon Erysha Emyra berkongsi kesedihan mendalam selepas pemergian bapanya, Allahyarham Datuk Zakaria Abdul Rahman.
- Dia cuba menepis kesedihan sementara memenuhi komitmen kerja dan bersyukur dapat berada di sisi arwah sebelum meninggal dunia.
- Erysha reda dengan ketentuan Ilahi dan bertekad meneruskan amanah serta menjaga keluarga seperti pesan arwah bapanya.
Pelakon Erysha Emyra tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi mengenai pemergian bapanya, Allahyarham Datuk Zakaria Abdul Rahman, yang meninggal dunia baru-baru ini.
Menurut Erysha atau nama sebenarnya Nur Erysha Emyra Zakaria, kehilangan insan yang sangat rapat dengannya itu meninggalkan satu kekosongan besar dalam hidupnya.
Erysha berkata dia cuba mengetepikan perasaan sedih buat sementara waktu demi memenuhi komitmen kerja yang telah dijadualkan.
"Rindu segalanya sebab saya rapat dengan dia. Saya sangat manja dengan dia… jadi bila dia tak ada rasa kosonglah. Pemergian ayah ini, saya rasa tak mampu lagi nak cakap apa-apa.
“Buat masa sekarang saya cuma cuba yang terbaik untuk tolak tepi perasaan itu sekejap sebab ada komitmen. Jadi setiap hari pun saya cuma kena masuk set, buat semua ini tapi okeylah.
"Saya rasa nanti habis penggambaran baru saya akan hadapi semua ini balik," katanya kepada Gempak ketika ditemui usai program MeleTOP.
Pelakon drama Ikatan Terlarang itu mengakui dia berasa ralat kerana terlalu sibuk dengan jadual seni sewaktu bapanya jatuh sakit.
Namun bersyukur apabila pihak produksi sanggup memberikan pelepasan cuti dan dia berpeluang untuk berada di sisi arwah sebelum menghembuskan nafas terakhir.
"Masa dia sakit itu saya sangat sibuk dengan penggambaran. Jadi mungkin kekurangan masa dengan dia.
"Tapi saya bersyukur dengan produksi Ikatan Terlarang sebab saat saya telefon mereka beritahu ayah saya masuk kecemasan, mereka terus bagi cuti.
"Bila saya sampai kecemasan dan ayah terus masuk ICU (Unit Rawatan Rapi) serta ditidurkan dalam masa kurang lima jam, produksi terus bagi cuti seminggu.
"Saya sangat hargai sebab saya dapat luangkan masa dengan ayah saya dan dia pergi di depan saya juga. Kalau saya dekat set tiba-tiba dapat panggilan, saya lagi sedih," jelasnya.
Meskipun masih dalam proses menerima kehilangan tersebut, Erysha berkata dia reda dengan ketentuan Ilahi dan bertekad untuk meneruskan amanah yang ditinggalkan arwah bapanya.
"Memang bukan sesuatu yang mudah untuk sesiapa pun lalui tapi mungkin dengan masa itu kita makin lama makin reda dan okey.
"Sekarang mungkin kita dah tak ada doa seorang ayah tapi kitalah yang kena doakan dia.
"Dia minta saya jaga keluarga, amanah dia dan minta kami terus gembira serta bersatu," katanya.
Sebelum ini, Erysha memohon doa orang ramai buat bapanya yang berada dalam keadaan kritikal di ICU. Beberapa hari kemudian, bapanya dilaporkan meninggal dunia.