Sekilas
- Pelakon dan penyanyi Amira Othman selamat melahirkan anak lelaki pada petang Selasa.
- Suaminya, pelakon Fattah Amin, berkongsi berita gembira itu di Instagram dengan ucapan terima kasih kepada semua yang mendoakan.
- Fattah dan Amira berkahwin pada 14 September tahun lalu dalam majlis di Sepang.
Pelakon dan penyanyi, Amira Othman selamat melahirkan cahaya mata lelaki di sebuah hospital, pada petang Selasa.
Berita gembira itu dikongsikan oleh suaminya yang juga pelakon, Fattah Amin menerusi satu hantaran di Instagramnya pada Rabu.
"Ahlan Wasahlan (Selamat Datang) Muhammad Jarir Umar bin Abdul Fattah. Alhamdulillah isteri saya Nadia Amira binti Othman selamat melahirkan 'baby' kami pukul 6.20 petang semalam," tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Fattah turut meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus menitipkan doa buat mereka sekeluarga.
"Terima kasih pada yang mendoakan. Semoga Jarir menjadi anak yang soleh penyejuk hati Mommy & Daddy," tulisnya lagi.
Untuk rekod, Fattah dan Amira diijabkabulkan sebagai suami isteri pada 14 September tahun lalu dalam sebuah majlis yang berlangsung di Sepang.