Selepas diberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan negara ini akhirnya, Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 4.40 petang tadi.
Kang Chol yang diisytiharkan sebagai 'Persona Non Grata' meninggalkan kedutaannya jam 3.50 petang sebelum ditemani seorang wanita dan kemudian bergegas ke KLIA dengan dikawal anggota polis trafik, seperti dilaporkan The Star.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan keputusan kerajaan Malaysia mengusir Duta Besar Korea Utara itu dibuat atas prinsip mempertahankan maruah dan kedaulatan negara. Tindakan itu sebagai penegasan bahawa tidak ada sesiapa atau mana-mana pihak yang boleh memperkotak-katikkan dan menghina Malaysia dengan sewenang-wenangnya.
"Itu keputusan yang kita buat atas soal prinsip. Maknanya, kita adalah sebuah negara yang berdaulat dan sesiapa yang dihantar ke Malaysia mestilah menghormati negara kita. Dan jika dia membuat tuduhan yang melulu dan tidak berasas, maka dia sepatutnya meminta maaf dan menarik balik kenyataan tersebut, tetapi dia enggan berbuat demikian," katanya seperti dilaporkan Bernama selepas ditemui pemberita selepas istiadat perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-13 oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.