Jika sebelum ini jenama fesyen terkemuka Balenciaga pernah menggemparkan pengkritik fesyen dengan beg 'toto' dan beg Ikea, kali ini Balenciaga buat hal lagi dengan mengeluarkan sebuah beg yang diinspirasikan daripada beg plastik pasar raya.
Nampak sahaja seperti beg plastik, namun beg yang dikenali sebagai Supermarket Shopper Stripe Leather Bag ini diperbuat dari bahan kulit anak biri-biri.
Sudah dijual secara dalam talian, beg kulit Balenciaga ala pasar raya ini boleh didapati dalam tiga warna jalur iaitu hitam putih, merah putih dan hitam kuning.
Dihasilkan dengan penuh kualiti di Itali, beg dengan dua pemegang ini senang dicuci dimana anda hanya perlu mengelapkannya dengan kain basah. Berciri unisex, ia boleh digunakan tidak kira lelaki atau perempuan.
Dijual pada harga USD 1,190 (RM4,920), koleksi ini mengundang perhatian ramai kerana seperti koleksi pelik Balenciaga sebelum ini, ia langsung tidak dijangka oleh para penggemar fesyen.