Sekilas
- Aliff Syukri berkongsi nasihat dan tazkirah kepada anak-anaknya tentang pentingnya menghargai asal-usul dan usaha keras dalam mencari rezeki.
- Dia menegaskan kemewahan yang dinikmati hari ini hasil daripada pengorbanan dan kerja keras bertahun-tahun, bukan datang bergolek.
- Aliff mengingatkan anak-anak supaya tidak mudah berputus asa dan sentiasa kuat menghadapi cabaran hidup walaupun tanpa kehadiran ibu bapa kelak.
Usahawan sensasi Aliff Syukri mencuri perhatian ramai apabila berkongsi video berisi nasihat dan tazkirah buat anak-anaknya mengenai erti kehidupan, kesusahan dan usaha mencari rezeki.
Menerusi perkongsian dalam TikTok, Aliff mengingatkan anak-anaknya supaya tidak melupakan asal-usul keluarga yang bermula daripada kehidupan serba sederhana.
“Ingat dan fahamlah asal usul awak semua daripada Aliff Syukri yang berniaga, menjaja di kaki lima, ketuk-ketuk pintu rumah orang. Itulah permulaannya.
“Orang yang hebat itu tidak gentar. Kalau dia susah, dia masih ada kemahiran, rajin dan ada usaha,” katanya.
Menurut Aliff, kemewahan yang dinikmati hari ini tidak datang bergolek sebaliknya hasil titik peluh dan pengorbanan yang dilakukan selama bertahun-tahun.
“Tapi bila kita duduk di rumah yang mewah, tak pernah bekerja, bangun tidur lambat dan dah terbiasa tak pernah rasa susah.
“Kalau keluar sahaja dari rumah ini, hidup akan merana sebab dekat luar sana terlalu keras,” ujarnya.
Tambahnya, ramai individu terpaksa bekerja keras setiap hari demi mencari rezeki untuk keluarga.
“Orang nak dapatkan RM70 sehari pun bersengkang mata membungkus barang, menyapu sampah dan menghantar pesanan.
“Ada yang sampai cacat, jatuh motosikal dan tak sempat jumpa anak sebab bekerja siang malam,” katanya.
Dalam masa sama, Aliff turut mengingatkan anak-anaknya supaya menghargai segala keselesaan yang dikecapi hari ini.
“Macam mana abah ini kena kuat bekerja nak menjulang nama kau.
“Bangun tidur ada penghawa dingin, rasa tak penghawa dingin yang mengalir itu penat jerih abah dan juga mama?” katanya.
Sementara itu, menerusi kapsyen hantaran tersebut, Aliff menjelaskan dia tidak mahu anak-anak terlalu selesa dengan kemewahan kerana bimbang mereka tidak bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar.
“Anak-anak, abah tak nak biasakan awak semua dengan kemewahan sebab abah tahu dunia di luar sana sangat jahat dan tak selalu memihak kepada kita.
“Akan ada saatnya awak semua penat berjuang sendirian, usaha tidak dihargai dan air mata terpaksa disembunyikan di sebalik senyuman,” tulisnya.
Menurutnya, setiap ujian dan kesusahan yang dilalui sebenarnya berperanan membentuk seseorang menjadi lebih kuat dan matang.
“Setiap kesusahan yang datang bukan untuk menghancurkan, tetapi untuk membentuk kamu menjadi insan yang lebih kuat, lebih sabar dan lebih matang,” ujarnya.
Aliff turut menitipkan pesanan agar anak-anaknya tidak mudah berputus asa walau berdepan pelbagai cabaran pada masa hadapan.
“Jika suatu hari nanti abah dan mama sudah tiada, abah harap anak-anak abah pegang satu pesan ini sampai bila-bila, jangan mudah menyerah.
“Orang yang berjaya bukanlah mereka yang tidak pernah jatuh, tetapi mereka yang tetap bangun walaupun berkali-kali terjatuh,” katanya.
Sumber: TikTok