Sekilas
- PU Riz memulakan program Quranic Madani untuk mengajar al-Quran dan tajwid kepada anak-anak asnaf di Rumah Titian Kaseh.
- Program ini bertujuan memperkukuhkan asas bacaan al-Quran sejak usia muda dan sejajar dengan usaha Kementerian Agama membantu golongan asnaf.
- Quranic Madani akan diperluaskan ke beberapa lokasi lain untuk mendekati lebih ramai masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Pendakwah bebas PU Riz memulakan program Quranic Madani menerusi sesi pengajaran al-Quran dan tajwid bersama anak-anak asnaf di Rumah Titian Kaseh baru-baru ini.
Program tersebut menghimpunkan penghuni rumah kebajikan berkenaan yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dalam usaha memperkukuhkan asas bacaan al-Quran sejak usia muda.
Menurut PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail, program itu merupakan antara usaha untuk memastikan pendidikan al-Quran dapat diakses lebih meluas khususnya kepada kanak-kanak dan remaja yang memerlukan perhatian.
“Alhamdulillah, hari ini kita akan mulakan sesi Quranic Madani ataupun sesi pengajaran al-Quran dan tajwid di Rumah Titian Kaseh ini.
“Bermula dengan anak-anak sekecil 8 tahun sampailah belasan tahun yang ada dalam kelas,” katanya.
Tambah suami kepada usahawan dan selebriti Neelofa itu lagi, sesi pertama program tersebut berjalan lancar dan memberi manfaat kepada para peserta yang hadir.
“Secara keseluruhan, Alhamdulillah sesi baik. Semua dapat manfaat,” ujarnya.
Dalam masa sama, PU Riz turut menyifatkan usaha tersebut seiring dengan pendekatan yang dilaksanakan pihak Kementerian Agama dalam membantu golongan asnaf menerusi pendidikan agama dan kebajikan.
“Dan ini juga seiring dengan apa yang dilakukan oleh Kementerian Agama yang menyalurkan bantuan kepada asnaf-asnaf yang juga berada di sini. Kita ucapkan tahniah,” katanya lagi.
Menurutnya, Quranic Madani diharapkan dapat menjadi platform berterusan untuk melahirkan lebih ramai masyarakat celik al-Quran selain mampu membaca kitab suci itu dengan baik dan bertajwid.
“Semoga semua orang di Kuala Lumpur, di seluruh Malaysia dapat belajar al-Quran dan membaca al-Quran dengan baik,” katanya.
Difahamkan, program Quranic Madani akan diperluaskan ke beberapa lagi lokasi selepas ini sebagai usaha mendekati lebih ramai masyarakat tanpa mengira latar belakang.