Sekilas
- Marisa Yasmin menerima pujian atas lakonannya yang berjaya menyentuh emosi penonton dalam filem The Furious.
- Beliau berkongsi bahawa teknik 'emotional recall' dan penghayatan watak secara organik membantu menghasilkan air mata dalam babak tertentu.
- Marisa menegaskan air mata dalam lakonan bukan hanya dari kesedihan, tetapi juga kemarahan, kekecewaan, dan emosi lain yang jujur.
Lakonan mantap pelakon, Marisa Yasmin dalam filem The Furious meraih pujian selepas berjaya menyentuh emosi penonton.
Lakonan itu membuatkan ada warganet bertanya bagaimana Marisa berjaya membawa watak yang penuh emosi sehingga meninggalkan kesan yang mendalam.
Menerusi ruangan komen di Threads, pemilik nama Marisa Yasmin Marriam Yaakob ini memaklumkan bahawa antara kaedah yang diamalkan adalah dengan menghayati watak sehingga emosi muncul secara semula jadi selain menggunakan teknik ‘emotional recall’.
"Ada beberapa cara pelakon menghasilkan air mata dalam babak tertentu seperti mendalami watak sehingga emosi muncul secara organik.
"Ada juga emotional recall daripada pengalaman," kongsinya.
Tambah Marisa, rasa sedih dan air mata dalam lakonan juga tidak semestinya lahir daripada perasaan sedih malah boleh juga lahir daripada teknik penghayatan watak dan kejujuran emosi.
"Air mata dalam lakonan bukan semestinya datang daripada kesedihan. Ia boleh lahir daripada kemarahan, kekecewaan, ketakutan atau kehilangan.
"Tapi selalunya pelakon yang berpengalaman tidak mengejar air mata. Mereka fokus kepada kebenaran emosi dan objektif watak. Bila emosi itu benar, air mata akan datang sendiri," ujarnya.
Terbaharu Marisa tampil dalam filem berjudul The Furious: Pertaruhan Maruah.
Selain Marisa, filem tersebut turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Zul Ariffin, Sky Iskandar, Ikmal Amry dan ramai lagi.
Sumber: Threads