Skip to main content

Hiburan

Jaslinda Akan Perjelas Spekulasi Selepas Berehat

TB JASLINDA SALUDIN BERNAMA

Sekilas

  • Jaslinda Saludin, pendaki wanita yang hilang hampir dua minggu di Gunung Batu Putih, telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Tapah.
  • Jaslinda mengucapkan terima kasih atas doa rakyat Malaysia dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung spekulasi yang timbul selepas ini.
  • Suaminya mencadangkan syarat penyertaan pendakian diperketatkan termasuk had umur dan pemeriksaan kesihatan demi keselamatan peserta.

Pendaki wanita yang ditemukan selamat selepas hampir dua minggu hilang di kawasan Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, dibenarkan pulang pada Selasa selepas menerima rawatan selama tiga hari di Hospital Tapah.

Jaslinda, 49, yang meninggalkan hospital kira-kira 1.50 tengah hari ini, kelihatan berjalan menggunakan tongkat dengan kaki kirinya berbalut, sebelum menaiki kenderaan Honda City dipandu suaminya untuk pulang ke ibu kota.

Ketika ditemui pemberita, Jaslinda melahirkan rasa syukur atas keadaan kesihatannya yang semakin baik serta merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan keselamatannya.

“Alhamdulillah, saya sihat. Terima kasih banyak. Terima kasih semua atas titipan doa buat saya dan saya sangat-sangat menghargainya.

"Saya juga nak memohon maaf kepada semua kerana telah menyusahkan banyak pihak sepanjang insiden ini, minta maaf dan terima kasih semua," katanya.

Mengenai pelbagai dakwaan dan spekulasi yang timbul sepanjang kehilangannya, Jaslinda berkata dia akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu pada masa sesuai.

“Kenyataan media kemudian nanti saya bagi tahu. Yang benda-benda tu semua yang dengar tu fitnah dan tidak betul, nanti saya bagi kenyataan,” katanya yang mahu berehat dan memulihkan keadaan kesihatannya.

Sementara itu, suami Jaslinda, Haszman Othman, 61, berkata pengalaman dilalui isterinya wajar menjadi titik perubahan kepada penganjur aktiviti pendakian untuk memperkukuh aspek keselamatan peserta.

Menurutnya, antara langkah boleh dipertimbangkan ialah menetapkan syarat penyertaan lebih ketat termasuk mewajibkan pemeriksaan kesihatan dan mengehadkan penyertaan mengikut faktor umur bagi mengurangkan risiko kecemasan ketika berada di kawasan pergunungan.

“Syarat perlu diperketat, mungkin had umur bawah 45 tahun dan perlu ada laporan kesihatan sebelum dibenarkan menyertai aktiviti, jika tidak, ia boleh menyusahkan banyak pihak,” katanya.

Pada masa sama, Haszman berkata minat Jaslinda terhadap aktiviti mendaki masih kekal meskipun berdepan pengalaman mencemaskan selepas tersesat di kawasan hutan selama dua minggu.

"Bagaimanapun sebarang aktiviti pendakian yang disertai isteri saya selepas ini perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati. Boleh, tapi kena bawa anak-anak dan kena lebih berjaga-jaga,” katanya.

Sabtu lepas, Jaslinda ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh kira-kira 5 petang oleh seorang penduduk kampung.

Wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman pada 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh bersama-sama 13 individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP).


Sumber: Astro AWANI menerusi BERNAMA

Anda mungkin berminat dengan

Tealive Bru & Friends - Milk Tea

Tealive Bru & Friends - Milk Tea

HNL Kerepek Pisang Masin / Banana Salted Chips

HNL Kerepek Pisang Masin / Banana Salted Chips

YAN@YAN Sut Wanita Gaya Korea

YAN@YAN Sut Wanita Gaya Korea

ZANZEA Women Korean Casual Stripes Drop Shoulder 3/4 Sleeve Blouse

ZANZEA Women Korean Casual Stripes Drop Shoulder 3/4 Sleeve Blouse

ZANZEA Women Solid Two-Piece Bat Sleeve Vintage Muslim Maxi Dress

ZANZEA Women Solid Two-Piece Bat Sleeve Vintage Muslim Maxi Dress

Must Watch Video

Advertisement