Sekilas
- Ira Kazar, bekas isteri Syamsul Yusof, tidak menolak kemungkinan bertemu jodoh selepas hampir dua tahun hidup solo.
- Dia kini lebih berhati-hati memilih pasangan, mengutamakan lelaki yang bijak kawal emosi dan bukan dari industri hiburan.
- Walaupun ada yang cuba mendekati, Ira mengakui belum jumpa calon suami yang sesuai setakat ini.
Bekas isteri kepada pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar tidak menolak untuk bertemu jodoh satu hari nanti selepas hampir dua tahun hidup bersendirian.
Menurut Ira atau nama sebenarnya Faghira Fatini Kazaruddin, pengalaman lalu tidak membuatkannya serik namun mengakui lebih berhati-hati dalam memilih pasangan.
“Saya belum terlalu fokus ke arah itu, tapi bukanlah menolak. Mungkin belum sampai jodoh.
“Saya juga tidak serik kerana setiap manusia berbeza. Tak bolehlah anggap semua lelaki sama. Cuma sekarang saya lebih berhati-hati dan akan tengok latar belakang terlebih dahulu.
“Dulu mungkin saya tidak terlalu pandang perkara itu, saya anggap kekurangan boleh diterima, tapi sekarang tidak lagi. Perlu pertimbangkan sebaiknya,” katanya kepada Gempak.
Ira berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran All Star Influencers Award yang bertempat di Studio 38, Kota Damansara pada Sabtu.
Ditanya mengenai kriteria bakal pasangan, pelakon berusia 31 tahun ini memaklumkan bahawa dia kini lebih tertarik kepada jejaka yang bijak mengawal emosi ketika berdepan konflik.
Jika diberi pilihan, dia juga mengidamkan bakal suami yang bukan dalam kalangan industri hiburan.
“Dia mestilah seorang yang bijak, tahu kawal situasi terutama bila ada konflik. Bagi saya itu sangat penting.
“Dari segi rupa pula, cukuplah sedap mata memandang. Kalau boleh bukan orang industri, biasa-biasa tetapi ada status juga,” katanya lagi.
Walau bagaimanapun, anak kepada aktor veteran Kazar Saisi ini mengakui masih belum bertemu jodoh yang sesuai meskipun ada individu yang cuba mendekatinya.
“Nak dijadikan isteri itu belum ada lagi. Kalau sekadar nak berkenalan, ada. Kalau kata ramai nanti orang cakap angkat bakul sendiri, jadi saya cakap ada sahajalah,” ujarnya.
Untuk rekod, Ira pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.
Mereka kemudian sah bercerai talak satu pada 5 Mac 2024 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor.