Skip to main content

Hiburan

Debut Pertama Sebagai Pengarah Filem, Jalan Cerita ‘Pangku’ Sangat Istimewa Buat Reza Rahadian - “Begitulah Cara Saya…”

Reza Rahadian

Sekilas

  • Reza Rahadian buat debut sebagai pengarah menerusi filem pertama beliau, Pangku, yang sudah menang lapan anugerah di Festival Filem Antarabangsa Busan dan Festival Filem Indonesia 2025.
  • Filem Pangku mengangkat kisah ibu tunggal yang dekat dengan pengalaman peribadi Reza, menjadikan cerita lebih menyentuh hati dan realistik.
  • Pangku akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 18 Disember ini.

Dua dekad dalam dunia seni, akhirnya pelakon Reza Rahadian mengorak langkah menjadi seorang pengarah  menerusi filem pertamanya berjudul Pangku. 

 

Merupakan debut pertamanya sebagai pengarah, filem Pangku sudah meraih empat anugerah di Festival Filem Antarabangsa Busan ke-30 dan empat anugerah di Festival Filem Indonesia 2025 termasuk ‘Filem Terbaik’. 

 

Berkongsi mengenai filem itu, Reza mengakui dia memilih kisah tentang ibu tunggal kerana ia lebih dekat dengan kehidupan peribadinya. 

 

“Mungkin sebab saya rasa ada pendekatan dengan jalan cerita mengenai ibu dan anak, begitulah cara saya membesar dengan ibu saya yang juga seorang ibu tunggal. 

 

“Sudah tentu, ia sangat peribadi dan lebih menyentuh hati,” kata Reza kepada Gempak.

 

Dalam pada itu, pelakon berusia 38 tahun ini berkata untuk menjadikan filem itu lebih dramatik antara cabaran utama menghasilkan karya hebat tersebut. 

 

“Untuk menjadikan ia lebih realistik, juga adalah cabaran. Dan untuk tidak terperangkap dengan idea yang memanipulasi cerita, dan idea yang membuatnya lebih dramatik dan sebagainya, menurut saya itu adalah cabaran utama.

 

“Untuk pastikan ia padat dan sentiasa solid, itu yang agak susah,” katanya lagi.

 

Pelakon kelahiran Indonesian ini turut berkata biarpun banyak cabaran namun dia menganggap banyak perkara yang menakjubkan sepanjang pembikinan filem Pangku. 

 

“Semuanya adalah cabaran apabila menjadi seorang pengarah. Saya perlu memberi tumpuan pada banyak aspek. 

 

“Ya, itulah cabarannya — untuk memastikan nilai seni dalam pembikinan filem tetap ada. Untuk dapat berkomunikasi dengan baik dengan setiap bahagian dalam proses pembikinan filem. 

 

“Bagi saya, terlalu banyak perkara menakjubkan sepanjang pembikinan filem Pangku,” katanya.

 

Untuk info, filem Pangku bakal ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia bermula 18 Disember ini.   

Must-Watch Video

Advertisement