Skip to main content

Viral

Azlan Komeng Didakwa Bankrap, Nilam Ortiz Bukan Warganegara Malaysia, Cik Pia Tuntut Tarik Balik Saman & Bayar Deposit Jaminan Kos RM75,000

cikpia_nilam

Sekilas

  • Cik Pia memohon jaminan kos RM75,000 daripada Azlan Komeng dan Nur Nilam Ortiz selepas disaman fitnah oleh mereka di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
  • Permohonan dibuat kerana Nur Nilam adalah warganegara Thailand yang boleh tinggalkan negara bila-bila masa, manakala Azlan pula diisytihar bankrap.
  • Saman fitnah ini melibatkan dakwaan kenyataan provokatif di media sosial dan akan mula dibicarakan pada 13 dan 14 Jun tahun depan.

Pempengaruh dan usahawan Norsufia Johari atau lebih popular disapa Cik Pia memohon jaminan kos RM75,000 daripada pasangan selebriti Azlan Komeng dan Nur Nilam Ortiz selepas menerima saman fitnah daripada mereka.

Hal ini kerana, Nur Nilam selaku plaintif pertama adalah warganegara Thailand dan boleh meninggalkan negara pada bila-bila masa, manakala Azlan selaku plaintif kedua telah diisytiharkan bankrap.

Peguam yang mewakili Norsufia atau lebih dikenali Cik Pia iaitu Datuk Adnan Seman dari Tetuan Adnan Sharida & Associates berkata, permohonan untuk jaminan kos oleh anak guamnya telah difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

“Kes berkenaan melibatkan dua pihak plaintif, iaitu Norhaslinda Abdullah (Nur Nilam) dan Mohd Azlan Kamiran (Azlan) terhadap seorang defendan, Norsufia Johari.

“Prosiding ini melibatkan dakwaan berhubung beberapa isu termasuk kerjasama perniagaan, penjualan produk, kenyataan di media sosial serta isu-isu berkaitan reputasi perniagaan.

“Justeru permohonan untuk jaminan kos oleh defendan telah difailkan pada Disember 2025 agar plaintif diarahkan membayar jaminan kos sebanyak RM75,000 dalam tempoh ditetapkan.

“Alasan-alasan permohonan adalah plaintif pertama adalah warganegara Thailand dan boleh meninggalkan negara pada bila-bila masa sahaja, manakal plaintif kedua adalah seorang yang bankrup,” katanya kepada Gempak.

Dalam masa sama, Adnan turut membuat permohonan untuk membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan plaintif kedua dalam afidavit sokongan.

Defendan menjelaskan bahawa plaintif kedua memfailkan tindakan mahkamah ini ketika dia masih berstatus bankrap (undischarged bankrupt) dan defendan percaya plaintif Kedua tidak mendapat kebenaran bertulis Ketua Pengarah Insolvensi (Sanksi) sebelum memfailkan tindakan ini.

Dalam pada itu, Adnan memberitahu prosiding membabitkan saman fitnah yang difailkan Nur Nilam dan Azlan akan mula bicara pada 13 dan 14 Jun tahun depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pada Ogos lalu, Azlan dan Nilam memfailkan saman fitnah terhadap Cik Pia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

Tindakan terbabit diambil selepas Cik Pia didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan provokasi di media sosial.

Menurut dokumen mahkamah, kenyataan yang dibuat oleh Cik Pia didakwa mengandungi fitnah, tuduhan melampau, provokatif, manipulasi dan buli siber yang menyebabkan Nilam mengalami tekanan emosi lebih-lebih lagi dalam keadaan hamil.

Azlan dan Nur Nilam turut memperoleh perintah injunksi inter partes daripada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 7 November lalu terhadap  Cik Pia berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah. 

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut setelah meneliti hujahan dan dokumen yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Must-Watch Video

Advertisement